Azizi gagal lagi hentikan PRK DUN Nenggiri

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri sekali lagi gagal untuk menghentikan Pilihan Raya Kecil (PRK) yang dijadualkan Sabtu ini, selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, menolak permohonan injunksi sementara yang difailkan Mohd Azizi Abu Naim.

Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain, menolak permohonan Mohd Azizi, 52, sementara menunggu pelupusan saman pemulanya yang difailkan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin selaku defendan pertama dan kedua.

Sementara defendan ketiga dan keempat ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ketika membaca keputusan tersebut, Roz Mawar berkata, SPR tidak sepatutnya dihalang daripada melaksanakan tugasnya sebagai pengendali PRK DUN.

“Injunksi sementara mungkin melambatkan projek berkepentingan awam, terutamanya jika perbicaraan penuh (saman pemula) yang dijangka akan mengambil masa yang lama.

“Pemberian injunksi sementara itu adalah bersamaan dengan gangguan terhadap fungsi perlembagaannya,” katanya.

Beliau berkata, permohonan Mohd Azizi, 52, selaku plaintif menimbulkan isu perlembagaan yang kompleks yang lebih sesuai ditangani dalam saman utama.

Menurutnya, Mohd Azizi yang dipecat daripada Bersatu, boleh menawarkan diri sebagai calon pada PRK namun beliau enggan berbuat demikian.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ini memberi makna beliau tidak lagi berminat untuk bertanding di kerusi berkenaan.

“Jika menghentikan proses yang telah dibuat ketika ini, yang mana kempen telah pun bermula, ia akan membawa kepada komplikasi logistik dan perbelanjaan awam yang tidak perlu,” katanya.

Mahkamah kemudian memerintahkan Mohd Azizi membayar kos sebanyak RM10,000 kepada setiap defendan dan menetapkan 18 Disember bagi mendengar saman pemula tersebut.

Dalam prosiding ini, peguam, Datuk Seri Rajan Navaratnam hadir bagi mewakili Mohd Azizi.

Defendan pula oleh Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly bagi pihak SPR; peguam, Awang Armadajaya Awang Mahmud (Speaker DUN Kelantan) dan peguam, Chetan Jethwani (Bersatu).

Sebelum ini, SPR menetapkan PRK DUN Nenggiri, diadakan pada 17 Ogos, berikutan kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim diisytiharkan hilang keahlian Parti Bersatu, pada 13 Jun lalu.

Menerusi saman pemula itu, Mohd Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang (ketika itu) memohon deklarasi bahawa PRK DUN Nenggiri tidak boleh diadakan atau dikendali oleh SPR kerana ia masih dipegang olehnya.

Beliau turut memohon deklarasi mahkamah bahawa pemecatannya daripada Bersatu melalui notis bertarikh 12 Jun adalah tidak sah, bahawa notis itu sendiri tidak sah dan bahawa pemecatannya dibuat dengan niat jahat.

Mohd Azizi berkata, pindaan terhadap Perkara 10 Perlembagaan Bersatu yang menyatakan bahawa keanggotaan akan ditamatkan jika ahli terbabit menyokong parti lawan adalah tidak berperlembagaan.

Pada 27 Jun lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan injunksi sementara yang difailkan oleh Mohd Azizi bagi menghentikan SPR daripada mengadakan PRK bagi DUN itu selepas memutuskan bahawa beliau tidak mengalami sebarang kerosakan kerana masih boleh mengambil bahagian dalam pilihan raya itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!