PN sindir BN isu ATM di Nenggiri

Mohd Rodzi
Mohd Rodzi
A
A
A

GUA MUSANG - Perikatan Nasional (PN) menyindir Barisan Nasional (BN) berhubung jaminan kerajaan untuk menyegerakan penyediaan kemudahan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Nenggiri ketika tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Induk PN PRK Nenggiri, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, pengumuman kerajaan mengenai penyediaan perkhidmatan berkenaan juga belum pernah berlaku sebelum ini.

"Belum pernah terjadi dalam sejarah negara bahawa Kementerian Kewangan (MOF) kena buat kenyataan rasmi bahawa nanti akan ada ATM untuk keluarkan duit di Nenggiri.

"Cuba semak sejarah mana pernah berlaku MOF sendiri cakap bahawa nanti orang Nenggiri akan dapat ATM," perlinya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di pentas Ceramah Pelancaran Tawaran PN PRK Nenggiri di Markaz Tarbiah Renok di sini pada malam Ahad.

MOF pada Sabtu lalu dilapor akan menyegerakan pengaktifan ATM di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri Kelantan bagi memenuhi keperluan asas rakyat di kawasan tersebut.

Kementerian itu dalam satu kenyataan memaklumkan, ia susulan perbincangan pihaknya dengan beberapa bank tempatan mendapat respons positif.

Mengulas lanjut, Mohd Radzi yang juga Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa, sebelum itu calon BN PRK Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani turut menyebut bahawa beliau akan perjuangkan kemudahan ATM untuk orang Nenggiri.

Artikel Berkaitan:

"Beliau kerja dengan wakil rakyat (Nenggiri) pada penggal lepas. Masa 'demo' (kamu) kerja demo buat apa? Beliau tak sedar ke orang Nenggiri mahukan ATM.

"Bila datang PRK ini baru sedar. Sebab itu adik kakak pergilah di mana pun dalam Nenggiri ini termasuklah kawasan Orang Asli, BN sudah cukup selesa," ujarnya.

Dakwa Mohd Radzi lagi, ekoran keadaan berkenaan, rakyat Nenggiri tetap menyokong mereka walaupun dalam keadaan banyak keperluan rakyat tidak berjaya dipenuhi.

"Dia (BN) kata buat apa pun orang Nenggiri akan tetap sokong mereka. Tak ada ATM pun tak apa. Orang Asli tidak diberi bantuan, tidak didukung sepenuhnya pun tak apa, Orang Asli tetap sokong mereka juga.

"Faktor inilah antaranya menyebabkan mereka (BN) buat tak tahu sahaja," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!