PRK Nenggiri: Pengundi luar sanggup pulang mengundi
GUA MUSANG - Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, pengundi luar menyatakan kesanggupan untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos ini.
Beliau bersama calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Rizwadi Ismail serta Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Radzi Jidin dan Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan sudah ke Kuala Lumpur pada Ahad untuk berjumpa perantau dari DUN Nenggiri.
"Tadi ambo (saya) tanya, sanggup ke tidak balik mengundi?
"Insya-ALLAH kata mereka. Jangan sanggup balik sahaja, biar sanggup undi bulan," katanya semasa berucap selepas merasmikan Pelancaran Tawaran Perikatan Nasional (PN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Markaz Tarbiah Renok di sini pada Ahad malam.
Menurut Mohd Nassuruddin, tujuan mereka ke sana bagi memastikan pengundi luar pulang mengundi kerana jarak Kuala Lumpur ke Gua Musang hanya tiga jam perjalanan sama sepertimana beliau dari Pasir Mas ke sini (Gua Musang).
Katanya, jika beliau boleh ulang alik ke Gua Musang sudah pasti orang Nenggiri boleh balik mengundi.
"Ambo (saya) sebut mari madoh (jemputan) kerana kita hendak bekwoh (kenduri) besar.
"Bukan bagi surat jemputan tapi mari sendiri. Ambo (saya) datang jemput sendiri. Adat kita orang Kelantan, kalau orang tua atau pemimpin yang datang sendiri jemput, sebelah kaki sampai juga," katanya.
PRK DUN Nenggiri 17 Ogos ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara BN dan PN.
BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO negeri, Mohd Azmawi Fikri sementara PN, Mohd Rizwadi dari Bersatu.
PRK Nenggiri diadakan selepas Yang Dipertua DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah pada 19 Jun lepas mengumumkan kekosongan kerusi itu susulan tindakan Bersatu menggugurkan keahlian penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian DUN Nenggiri pada 17 Ogos manakala penamaan calon serta pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos.
Dalam PRK lalu, calon PN dari Bersatu, Mohd Azizi Abu Naim menang dengan majoriti 810 undi menewaskan calon BN, Ab Aziz Yusoff.
Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di sini!.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!