Berniaga tepi jalan tidak lagi sesuai beroperasi di Kuala Lumpur

Chen Heng (kanan) mengikuti operasi penguatkuasaan dijalankan DBKL
Chen Heng (kanan) mengikuti operasi penguatkuasaan dijalankan DBKL
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peniaga ibu kota perlu mencari pendekatan baharu dan keluar daripada zon selesa dengan tidak menjadikan tempat awam termasuk tepi jalan dan siar kaki sebagai lokasi perniagaan mereka.

Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpu, Lai Chen Heng berkata, kepesatan pembangunan Kuala Lumpur dihuni lebih 8 juta penduduk tidak lagi membenarkan perniagaan cara lama dijalankan kerana menyebabkan kacau ganggu selain mencacatkan pemandangan.

Chen Heng berkata, beliau menyokong tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan penguatkuasaan terhadap penjaja yang gagal mematuhi peraturan permit niaga mahupun melanggar Akta Kerajaan Tempatan serta Akta Jalan, Parit dan Bangunan.

"Saya mengikut perkembangan tindakan JPK (Jabatan Penguat kuasa) dalam penguatkuasaan, yang kebanyakannya fokus terhadap struktur haram dan peniaga tanpa lesen bersesuaian seperti di Masjid India dan Jalan Sultan.

"Saya pernah melihat peniaga memacak struktur di hadapan kedai orang tanpa segan silu, ada memonopoli lorong belakang jalan untuk dijadikan gerai serta berniaga di bahu jalan dan padang rekreasi yang semua dibuat atas keuntungan peribadi tanpa mengira faktor persekitaran," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, peniaga bermasalah ini kebanyakan mempunyai lesen tetapi tiada kelulusan tapak premis dan mereka memilih lokasi tapak niaga tidak sesuai sehingga mengganggu rumah kedai atau laluan lorong.

Operasi penguatkuasaan DBKL terhadap struktur tambahan dibina tanpa kebenaran.
Operasi penguatkuasaan DBKL terhadap struktur tambahan dibina tanpa kebenaran.

Selain itu beliau berkata, ada juga dalam kalangan peniaga ini tidak mematuhi piawaian kebersihan apabila mendirikan struktur di tepi jalan di mana sisa dibuang terus ke longkang.

Artikel Berkaitan:

"Saya pernah masuk ke dalam dapur satu warung yang mengambil tapak sepanjang lorong belakang jalan di Jalan Sultan. Amat jijik dan ada juga tempatkan pekerja warga asing tinggal dalam struktur bersaiz kandang.

"Malah ada dalam kalangan mereka menggunakan nama orang atasan atau menteri selain parti politik tertentu mendakwa surat sokongan untuk menjalankan perniagaan secara tidak sah," katanya.

Dalam pada itu, Chen Heng berkata berkata, ramai beranggapan tindakan penguatkuasaan DBKL menyasarkan peniaga sebaliknya tindakan itu adalah mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan mengikut prosedur ditetapkan.

Operasi penguatkuasaan terhadap peniaga melanggar syarat lesen perniagaan.
Operasi penguatkuasaan terhadap peniaga melanggar syarat lesen perniagaan.

Tambahnya, kerajaan kini telah banyak menjalankan pembaharuan bagi membantu peniaga berniaga dengan selesa di lokasi bersesuaian.

"Salah satunya adalah program Lestari Niaga di peringkat DBKL selain pusat penjaja secara berperingkat dinaik taraf untuk memberi satu persekitaran perniagaan yang selesa. Begitu juga program pemindahan dan pemutihan penjaja agar kelihatan lebih teratur.

"DBKL turut melancarkan Ruang Penjaja Madani, satu garis panduan untuk mana-mana projek pembangunan baru bagi mewajibkan ruang untuk peniaga kecil membuat perniagaan, khususnya untuk kedai makan.

"Hakikatnya Kuala Lumpur telah banyak berubah. Ekonomi malam harus berkembang, dan harus bergerak selaras dengan aspirasi kerajaan. Justeru peniaga perlu berfikir di luar kotak," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!