Pesara bomba didakwa beri keterangan bercanggah
KUALA TERENGGANU - Seorang pesara bomba tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas tiga tuduhan memberi keterangan bercanggah kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2021.
Abdul Hamid S Abdullah, 64, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.
Berdasarkan kesemua pertuduhan, tertuduh telah memberi keterangan kepada pegawai SPRM di Pejabat SPRM Cawangan Segamat, Johor pada 7 September 2021.
Bagaimanapun, tertuduh memberikan penyataan tidak selaras dengan penyataan yang diberikan sebelum ini kepada Pegawai SPRM di Pejabat SPRM Terengganu pada 27 September 2018 dan 7 Ogos 2019.
Oleh itu, tertuduh didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 27(1) (b) Akta SPRM 2009.
Pendakwaan kes yang dibuat mengikut Seksyen 27(1) (b) Akta SPRM 2009 itu membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Feisal Mohd Azmi dan Pegawai Pendakwa Abd Muntaqim Abdul Aziz mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah selain melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM terdekat sehingga kes selesai.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya jaminan tersebut dikurangkan atas faktor kekangan kewangan bagi merawat masalah kesihatan dihadapi.
"Sebenarnya saya dianiaya...saya mohon jaminan dikurangkan sebab saya sudah bersara dan ada tanggungan.
"Saya juga ada penyakit kencing manis, darah tinggi dan batu karang. Jadi sumber kewangan yang terhad ini hanya untuk membeli suplemen dan ubat bagi merawat penyakit dihadapi," ujarnya.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Mohd Azhar membenarkan Abdul Hamid diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat-syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan, pasport diserahkan kepada mahkamah selain melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM terdekat sehingga kes selesai.
Mahkamah turut menetapkan tarikh 10 Oktober depan untuk pengurusan kes.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!