'Selamatkan Sabah' ketengah isu rakyat - Warisan
KOTA KINABALU - Parti Warisan (Warisan) mengambil inisiatif mengetengahkan isu rakyat di negeri ini menerusi slogan 'Selamatkan Sabah' dalam siri jelajah Presiden Parti Warisan (Warisan).
Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, situasi yang dihadapi rakyat ketika ini amat membimbangkan termasuk peningkatan kadar pengangguran golongan belia dan kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat.
Menurut Ahli Parlimen Semporna itu, dalam laporan jabatan statistik Malaysia merekodkan terdapat hampir 200,000 orang tidak mempunyai pekerjaan di Sabah.
"Ada peningkatan pada tahun 2023 iaitu tujuh peratus dan tahun ini hampir sembilan peratus. Data ini data cukup ketara walaupun kita dengar ada pelabur, ada pembangunan tetapi malangnya tidak kelihatan pekerjaan anak-anak tempatan malah ramai antara mereka yang berhijrah ke Semenanjung untuk mencari pekerjaan.
"Ini bukan masalah yang kita boleh ambil ringan. Isu masalah air di Sandakan mengambil masa lapan bulan baru selesai, ini yang kita kena atasi. Bukan masalah tidak ada duit tapi keutamaan ini harus dilaksanakan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir pada siri jelajah Presiden Warisan Parlimen Sepanggar, di Taman Sepanggar di sini, pada Ahad.
Tambah beliau lagi, perkara itu perlu dibuat kajian secara mendalam bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.
"Kita harus membuat kajian yang mendalam bagaimana perkara ini berlaku dan kita yakin dapat mengatasi masalah ini.
"Wujudkan peluang pekerjaan untuk anak-anak di Sabah menerusi dana yang ada. Kalau kita bina kilang-kilang di Sabah seperti yang saya buat dulu bina kilang minyak masak, saya yakin beribu anak-anak kita mendapat peluang pekerjaan," katanya.
Sehubungan itu, beliau sekali lagi menegaskan kerajaan Sabah perlu menguruskan negeri ini dengan baik dalam keadaan dunia yang mencabar ketika ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!