Masyarakat Orang Asli diingat tidak terpedaya janji 'bulan bintang' PN

Mohd Syahbuddin Hashim
Mohd Syahbuddin Hashim
A
A
A

GUA MUSANG - Masyarakat Orang Asli di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri diingatkan supaya tidak terperdaya dengan janji ‘bulan dan bintang’ ditawarkan Perikatan Nasional (PN) ketika kempen pilihan raya kecil (PRK) DUN itu.

Timbalan Pengarah PRK DUN Nenggiri bagi Barisan Nasional (BN), Mohd Syahbuddin Hashim mendakwa, selama ini kerajaan negeri sendiri tidak mempedulikan mereka dan ini terbukti antaranya dalam pembentangan belanjawan negeri.

"Saya nampak PN semalam terdesak sebab kalau dulu mereka tak mempedulikan langsung soal Orang Asli. Dalam Dewan Undangan Negeri pun kita tengok tak ada satu bajet tambahan besar diberikan kepada masyarakat Orang Asli dan isu-isu Orang Asli saya tak nampak mereka cuba selesaikan dengan serius.

"Cuma yang saya nampak bila musim pilihan raya semua berpusu-pusu ke pos-pos Orang Asli untuk dapatkan undi dan saya dapat laporan dari pemimpin tempatan mereka janji bulan dan bintang,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini pada Ahad.

Sebelum ini, media melaporkan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam kempen bersama masyarakat Orang Asli, menyeru pengundi di situ untuk memberi undi sama rata kepada calon PN dan BN supaya pihak yang menang tidak mungkir janji.

Mohd Syahbuddin mendakwa, kerajaan negeri juga selama ini berdolak-dalik dalam menyelesaikan isu utama Orang Asli di DUN itu yang menuntut tanah adat mereka digazetkan.

PRK DUN Nenggiri yang ditetapkan hari mengundi pada 17 Ogos ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon Pas, Mohd Rizwadi Ismail mewakili PN.

Artikel Berkaitan:

PRK itu diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumumkan oleh Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lepas, selepas bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Pada Pilihan Raya Negeri Kelantan Ogos tahun lalu, calon BN Ab Aziz Yusoff tewas kepada Mohd Azizi yang bertanding di bawah tiket PAS mewakili PN dengan majoriti 810 undi. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!