[VIDEO] Bot terbalik: Lebih dua jam terapung di samping mayat rakan
KEMAMAN - "Kami terpaksa berpaut antara satu sama lain selama lebih dua jam, waktu tu rasa macam dah tak ada harapan untuk hidup," luahan mangsa terselamat dalam tragedi bot karam, Ain Farhana Muhamad Husaini.
Ain Farhana, 30, yang merupakan pembantu klinik berkata, ketika kejadian dia sedang tidur dalam kabin dan hanya menyedari bot dinaiki dilanggar apabila ia terbalik.
"Waktu bot terbalik itu saya berusaha untuk berenang dan timbul ke permukaan air. Waktu itu saya sempat mengucap tiga kali sebelum berjaya keluar dari bawah bot yang hampir karam.
"Dalam keadaan masih terkejut, saya baru sedar saya terapung agak jauh daripada yang lain. Ketika berenang untuk berpaut pada tong ikan, saya ternampak rakan saya, Siti Zamimah Mohman Zobini, 29, terapung.
"Saya bersama seorang lagi peserta trip yang terselamat segera memaut Siti Zamimah untuk ke tempat lebih selamat. Waktu tu saya perasan dia sudah tidak bernyawa," katanya ketika ditemui pemberita di pusat kawalan operasi Zon Maritim Kemaman di sini, pada Isnin.
Menurut Ain Farhana, dia bersama ibunya, Haziyah Harun, 64, dan adiknya, Aina Husna, 25, serta Siti Zamimah mengikuti rombongan mencandat sotong bersama enam lagi individu Sabtu lalu.
"Kami bergerak dari Rawang jam 8 pagi pada Sabtu lepas dan sampai di Kemaman jam 1.30 tengah hari. Waktu tu kami naik bot untuk keluar mencandat dari Bukit Kuang, Kemaman jam 5.30 petang hari yang sama.
"Kami sepatutnya pulang ke darat jam 11.30 pagi semalam (Ahad) malangnya bot yang kami naik dilanggar sekitar jam 6.20 pagi. Kami tinggal sehelai sepinggang kerana tiada satu barang pun yang berjaya diselamatkan," ujarnya.
Setakat ini, Aina Husna dan seorang lagi individu, Yusof Kassam, 66, masih belum dijumpai.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan sebuah bot dinaiki sembilan penumpang termasuk dua tekong karam dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi pada Ahad.
Bot dinaiki pemancing berasal dari Raub, Pahang dan Selayang, Selangor itu dipercayai dilanggar sebuah tongkang pada jarak tujuh batu nautika dari perairan Kuala Kemaman.
Kejadian itu disedari sekumpulan nelayan yang menemukan lima daripada mereka, termasuk seorang mangsa yang meninggal dunia terapung sebelum dibawa ke daratan kira-kira jam 8 pagi.
Mayat seorang lagi mangsa iaitu tekong bot, Shahril Ismail, 50, dijumpai kira-kira jam 1 tengah hari yang sama sekitar lima batu nautika dari lokasi kejadian pada Ahad.
Setakat ini, lima mangsa terselamat, dua disahkan meninggal dunia manakala dua lagi masih hilang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!