Wanita dipenjara tujuh hari akibat curi baju

Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret di sini kerana mencuri dua helai baju
Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret di sini kerana mencuri dua helai baju
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang penunggang p-hailing wanita dijatuhi hukuman penjara selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret di sini kerana mencuri dua helai baju di sebuah pusat beli-belah dekat sini, minggu lepas.

Majistret Noor Mazrinie Mahmood menjatuhkan hukuman itu terhadap Aimi Shairah Ismail, 37, selepas dia mengaku bersalah mencuri dua helai baju milik sebuah kedai di pusat beli-belah tersebut.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati telah mencuri dua helai baju berjumlah RM198 milik sebuah kedai di sebuah pusat beli-belah di daerah ini kira-kira jam 12.30 tengah hari, 8 Ogos lalu.

Perbuatan itu disedari pengawal keselamatan apabila tertuduh masuk ke sebuah kedai lain dalam keadaan mencurigakan selain gagal menunjukkan bukti resit pembelian.

Semakan lanjut mendapati tiada resit dikeluarkan bagi dua helai baju T jenama Ducati itu dan ia disahkan milik kedai berkenaan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda dan bagi kesalahan kedua atau seterusnya boleh dihukum penjara serta dikenakan denda atau sebat.

Mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tujuh hari bermula tarikh tangkapan iaitu 8 Ogos lepas.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aisyah Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!