Kes bunuh Cikgu Istiqomah: Suspek bekas kekasih di universiti - Polis

Suspek (tiga dari kiri) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Gajah di Alor Gajah, pada Isnin.
Suspek (tiga dari kiri) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Gajah di Alor Gajah, pada Isnin.
A
A
A

ALOR GAJAH - Polis mengesahkan suspek yang direman berhubung kes pembunuhan Cikgu Istiqomah merupakan bekas seorang guru dan bekas teman lelaki mangsa ketika di universiti.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, dipercayai mangsa yang merupakan ibu kepada tiga cahaya mata itu berhubung dengan suspek berusia 37 tahun itu atas dasar urusan berkaitan pelaburan Forex.

Menurutnya, mangsa yang bertugas di Sekolah Kota Masai 3, Pasir Gudang, Johor, dilaporkan hilang oleh keluarganya sejak 26 Disember lalu sebelum menemukan mayat tidak lengkap anggota badan termasuk kedua-dua tangan dan kaki pada 31 Disember 2023 di Tanjung Rimau, Pulai Sebang.

"Hasil siasatan yang dilakukan telah membawa kepada penahanan sepasang suami isteri di Chemor, Perak sebelum ditahan reman pada 6 Ogos lalu.

"Selain itu turut ditemui tulang jari dan bahagian kepala tidak jauh dari lokasi penemuan anggota badan dalam jarak kira-kira 5 hingga 6 kilometer (km) dari tempat pertama mayat mangsa ditemukan," katanya ketika dihubungi di sini, pada Isnin.

Mengulas lanjut beliau berkata, motif pembunuhan masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).

Sinar Harian pada 6 Januari lalu melaporkan mayat tanpa identiti ditemui dalam keadaan tidak berpakaian, hanya beralaskan kain di bawahnya disyaki seorang perempuan berusia antara 20 hingga 30-an.

Selain itu anggota badannya tidak cukup iaitu kepala, kedua-dua tangan dan kaki dipercayai telah dipotong.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada Isnin melaporkan kehilangan seorang guru wanita sejak lapan bulan lalu akhirnya terjawab selepas polis mengesahkan mayat tidak lengkap ditemui pada 31 Disember lalu adalah, Istiqomah Ahmad Rozi,33.

Ujar Ashari, berdasarkan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan terdapat mayat tanpa identiti itu mendapati ia sepadan dengan mangsa yang dilaporkan hilang sejak 27 Disember tahun lalu.

Suspek disambung reman selama tujuh hari sehingga Isnin depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!