Isu pemilikan tanah peserta, peneroka diselesaikan secara faraid

Ahmad Zahid (tengah) yang hadir pada Program Temu Mata bersama Warga Peneroka dan Masyarakat Jeram Tekoh di Dewan GDW Kesedar Jeram Tekoh di Gua Musang.
Ahmad Zahid (tengah) yang hadir pada Program Temu Mata bersama Warga Peneroka dan Masyarakat Jeram Tekoh di Dewan GDW Kesedar Jeram Tekoh di Gua Musang.
A
A
A

GUA MUSANG - Kerajaan akan menyelesaikan isu pemilikan tanah peneroka dan peserta kesemua agensi di bawah Lembaga Kemajuan Wilayah melalui kaedah faraid.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kaedah itu dilaksanakan bagi mengelak sebarang masalah yang timbul berbanding pemberian pemilikan kepada anak sulung sebelum ini.

“Kita tidak mahu mengulangi kesilapan apabila memberikan pemilikan kepada pewaris anak sulung dalam keluarga peneroka yang sudah meninggal dunia.

“Sebaliknya kaedah faraid akan digunakan bagi mengelak permasalahan antara ahli-ahli keluarga yang mempunyai lebih daripada satu anak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Program Temu Mata bersama Warga Peneroka dan Masyarakat Jeram Tekoh di Dewan GDW Kesedar Jeram Tekoh dekat sini pada Isnin.

Turut hadir, Pengerusi Kesedar, Datuk Zawawi Othman dan Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, isu tersebut juga akan diselesaikan dengan penglibatan dan pendapat daripada Mahkamah Syariah serta pihak berkuasa agama negeri.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan tanah milikan Lembaga Kemajuan Wilayah membabitkan beberapa agensi termasuk di Kesedar dan Felda yang sudah dibayar premium adalah milik agensi berkenaan serta bukannya kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

“Ada dakwaan mengatakan tanah milikan Lembaga Kemajuan Wilayah adalah milik kerajaan negeri, hakikatnya Kanun Tanah Negara menetapkan mana-mana tanah yang sudah dibayar premium dan gerannya diberikan kepada Lembaga Kemajuan Wilayah bermakna tanah berkenaan bukan lagi milik kerajaan negeri.

“Hak untuk mengagihkan tanah berkenaan adalah hak agensi-agensi berkenaan dan saya berharap peserta atau peneroka tidak termakan dengan kenyataan pihak yang sengaja menimbulkan kekeliruan,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!