Polis gempur 'port' samseng jalanan
GEORGE TOWN - Polis memeriksa 67 buah motosikal dalam Operasi Samseng Jalanan di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) yang diadakan bermula jam 5 petang Ahad sehingga 12 tengah malam Isnin.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, 48 daripada motosikal tersebut telah disita mengikut Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurutnya, dalam operasi sama, sebanyak 195 saman dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan.
"Operasi melibatkan tiga pegawai dan 31 anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Pulau Pinang, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (IPDSPU) Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPDSPU dan Balai Polis Butterworth.
"Operasi ini bertujuan mencegah aktiviti samseng jalanan seperti lumba haram selain untuk memastikan pengguna jalan raya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya yang telah ditetapkan bagi mengurangkan risiko berlakunya kemalangan jalan raya," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambah Hamzah, Polis Pulau Pinang sangat komited membanteras aktiviti samseng jalanan bagi melahirkan generasi pengguna jalan raya yang sentiasa patuh kepada peraturan dan undang-undang jalan raya.
"Oleh demikian, orang ramai khususnya golongan remaja diingatkan agar tidak terlibat dalam aktiviti lumba haram atau apa juga aktiviti samseng jalanan yang boleh mengancam nyawa diri sendiri serta orang lain.
"Operasi seumpama ini akan diteruskan dari masa ke semasa bagi memastikan pengguna jalan raya tidak melanggar undang-undang dan peraturan yang ditetapkan," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!