Masih ramai pemilik kenderaan logistik belum mohon 'fleet card'

Fuziah
Fuziah
A
A
A
GOMBAK - Pemilik kenderaan logistik yang layak mendapat 'fleet card' diminta menyegerakan membuat permohonan bagi mendapatkan penyasaran subsidi diesel.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, daripada 410,000 kenderaan yang layak mendapatkan 'fleet card' hanya 257,000 daripadanya telah membuat permohonan tersebut.

Menurutnya, jurang yang besar itu dibimbangi akan menimbulkan masalah kepada kenaikan harga barang.

"Tdak perlu ada banyak lori atau kenderaan, lori satu tan pun layak membuat memohon kad tersebut.



"Apabila layak tetapi tidak memohon 'fleet card', ada kemungkinan memberikan kesan kepada harga barang ditawarkan," katanya ditemui selepas merasmikan pembukaan Restoran Ayam Gepuk Top Global cawangan Sri Gombak pada Isnin.

Dalam pada itu, Fuziah berkata, pihaknya juga telah memohon syarikat minyak untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran kad berkenaan bagi memendekkan tempoh menunggu.

"Apabila permohonan telah dibuat kepada KPDN proses seterusnya adalah memohon kepada syarikat minyak. Terdapat lima syarikat utama dan pemohon boleh memilih tiga daripadanya.

"Proses menunggu biasanya dalam tempoh tiga minggu namun disebabkan permohonan 'overload' pada Jun dan Julai menyebabkan masa menunggu dilanjutkan sehingga sebulan," katanya.

Susulan itu, beliau berkata, pihaknya telah meminta syarikat berkaitan untuk mempercepat pengeluaran bagi melancarkan proses penyasaran subsidi berkenaan.

Katanya, pemohon yang mempunyai kenderaan atau lori persendirian juga diberikan pilihan alternatif melalui 'cash card' yang tempoh menunggu dapat dipendekkan.
Artikel Berkaitan:


Kerajaan sebelum ini memperkenalkan mekanisme fleet card Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) sebagai langkah mengatasi isu ketirisan dalam pemberian subsidi kepada sektor pengangkutan darat.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!