Jo-Anna bukan lagi ahli Warisan - Shafie Apdal

Jo-Anna
Jo-Anna
A
A
A

KOTA KINABALU - Presiden Parti Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengesahkan Jo-Anna Sue Henley Rampas yang merupakan bekas Timbalan Ketua Wirawati bukan ahli Warisan lagi.

Bagaimanapun, Mohd Shafie berkata, itu adalah hak dan terpulang kepadanya untuk meninggalkan Warisan jika ingin memilih parti lain.

"Kalau dia sudah keluar, dia bukan ahli Warisan lagi. Itu terserah, hak dia. Kita bagi dia peluang calon berapa kali, jadi terpulang kepadanya siapa yang disokong.

"Kalau mereka keluar, biarkan. Kita tiada paksaan, mesti ada keredaannya. Kalau dia percaya kerajaan dipimpin Hajiji (Datuk Seri Hajiji Noor) boleh selesaikan masalah empat tahun itu terpulang," katanya kepada pemberita selepas hadir pada Siri Jelajah Presiden Warisan Parlimen Sepanggar, di Taman Sepanggar, di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung kenyataan Jo-Anna yang juga bekas Ketua Wirawati Warisan Tuaran itu yang telah melepaskan jawatannya dalam parti sejak tahun lalu.

Tambah Mohd Shafie lagi, walaupun keputusan itu diambil salah seorang ahlinya namun ia tidak menjejaskan parti kerana ketika ini masih terdapat pertambahan keahlian dalam Warisan.

"Parti ini tidak bergantung dengan individu, tetapi rakyat yang kita bergantung untuk memastikan kekuatan yang ada.

"Apa yang penting adalah rakyat, mungkin dia keluar tapi yang kita tahu yang masuk ini ramai. Ramai yang masuk daripada Sandakan malah dari Kudat dan Tawau akan lebih ramai yang menyertai Warisan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jo-Anna yang juga bekas pemilik mahkota Unduk Ngadau (ratu cantik) 2007 berundur daripada arena politik kerana ingin memberi tumpuan kepada pengajiannya di peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) di Universiti Sarawak Malaysia (Unimas).

Beliau menjawab spekulasi berkaitan dirinya itu menerusi hantaran terbaharu di Facebook miliknya baru-baru ini selepas dilihat sudah tidak aktif bersama Warisan sejak kebelakangan ini.

Graduan undang-undang dari United Kingdom itu pernah menjadi calon Warisan bagi kerusi Parlimen Tuaran dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November 2022.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!