Malaysia #QuranHour budayakan al-Quran dalam kehidupan
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Program Malaysia #QuranHour yang dianjurkan sejak 10 tahun lalu memainkan peranan penting membudayakan al-Quran dalam kehidupan umat Islam di negara ini.
Mufti Pulau Pinang, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, ia perlu diteruskan bagi meningkatkan kesedaran dan penghayatan orang ramai dengan mengutamakan al-Quran dalam aktiviti harian.
“Jadi di situ peringatan demi peringatan sentiasa diadakan, maka tugas kita pula untuk meneruskan budaya al-Quran itu dalam kehidupan.
“Sebab orang kita ini biasa memadai dengan membaca al-Quran, belajar tajwid, habis khatam al-Quran itu dikira sudah selesai, maka ditinggalkan (amalan baca al-Quran).
“Akhirnya mereka tidak faham al-Quran,” katanya kepada Sinar Harian sempena My #QuranTime di Studio My #QuranTime, Kumpulan Karangkraf pada Isnin.
Program Malaysia #QuranHour 2024 akan diadakan serentak di seluruh negara pada 30 Ogos ini di lokasi perdana, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya bermula jam 10 hingga 11 pagi.
Slot tersebut akan bersiaran secara langsung melibatkan wakil media antaranya ialah Sinar Harian, Astro Oasis, TV9, Bernama, TV Alhijrah, Zayan, Astro Awani, Nu Ideaktiv, IKIM FM, Denaihati.com dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) selaku penyiar utama Malaysia #QuranHour.
Dalam pada itu, Mohd Sukki yang bertugas sebagai Pesan Tokoh sempena Malaysia #QuranHour itu berkata, program tersebut juga menggalakkan konsep tadabbur untuk orang ramai mengenal dan memahami makna ayat suci dalam al-Quran.
Menurutnya, ia sekali gus membantu masyarakat dari segi mengaplikasikan amalan dalam al-Quran menerusi aktiviti harian mereka.
“Malaysian #QuranHour ini juga hendak ajar kita bukan sekadar membaca sahaja tetapi tadabbur ayat al-Quran.
“Sebab itu diambil beberapa surah contohnya al-Jumu’ah dan al-Hujurat. Untuk kita menghayatinya satu persatu dan mengaplikasinya di dalam kehidupan kita. Itu penting,” ujarnya.
Tambah beliau, penganjuran program yang berpandukan surah tersebut turut membentuk sifat menjalin hubungan sesama manusia dengan cara betul. Ulasnya, kandungan surah berkenaan juga mempunyai nilai-nilai dalam membawa pengaruh positif kepada pembangunan komuniti dan negara.
“Contohnya dalam konteks negara, kita hendak membina negara ke arah kebaikan sebab itu kita perlu kepada saling hormat-menghormati, ada sifat kasih sayang, bersatu padu dan sebagainya.
“Itu antara (elemen dalam) surah al-Hujurat. Jadi itu penting dalam soal untuk memahami kemerdekaan maknanya biar kita hidup secara harmoni, saling tolong-menolong, bekerjasama antara satu sama lain dan dapat membagunkan negara,” ulasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!