Masalah air di Gua Musang bukan kegagalan Jakoa
GUA MUSANG - Dakwaan Pengarah Operasi Perikatan Nasional (PN) PRK Nenggiri, Tan Sri Annuar Musa berhubung masalah air di Gua Musang berpunca daripada kegagalan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) menyelenggara sistem rawatan air yang disediakan adalah tidak tepat.
Unit Komunikasi Korporat Jakoa dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, sebanyak 109 kampung Orang Asli di Gua Musang mempunyai sistem bekalan air yang menggunakan tiga sistem air paip, boring air bawah tanah (16) dan graviti sungai (90).
"Sepanjang Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), sejumlah RM25 juta telah diperuntukkan bagi kerja-kerja bina baru dan pembaikan sistem rawatan air manakala sebanyak RM5 juta pula dibelanjakan untuk kontrak penyelenggaraan.
"Isu pembekalan air ke perkampungan Orang Asli adalah berpunca dari sumber air yang terhad selain dari sumber air yang tercemar.
"Masalah ini berlaku bukan sahaja di perkampungan Orang Asli malahan di seluruh negeri Kelantan," katanya.
Menurut kenyataan tersebut, masalah itu berlaku disebabkan kurangnya kawasan tadahan hujan yang dapat menyalurkan air ke kawasan-kawasan sekitar akibat aktiviti pembalakan dan pembukaan ladang secara tidak terkawal selain kurangnya kawalan terhadap pencemaran air di sungai Kelantan.
Namun begitu, Jakoa tetap berusaha menyediakan alternatif lain untuk mendapatkan sumber bekalan air buat masyarakat Orang Asli Gua Musang dengan membangunkan boring air melalui kerjasama strategik bersama agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Mineral dan Galian (JMG) serta universiti-universiti tempatan.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan Annuar menegaskan peruntukan untuk penyediaan bekalan air bersih di penempatan pedalaman Orang Asli disalurkan Jakoa.
Beliau menepis dakwaan kononnya isu masalah air yang membelenggu penduduk Orang Asli tersebut disebabkan kegagalan kerajaan negeri menyelesaikannya.
Katanya, Jakoa bertanggungjawab tentang bekalan bukannya ia berada di bawah kerajaan negeri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!