'Baton telah diserah, kini untuk anda bro' - Azizulhasni

Mohd Azizulhasni Awang (kiri) hadir bagi memberi sokongan kepada Muhammad Shah Firdaus Sahrompada Sukan Olimpik Paris 2024 di Saint-Quentin-en-Yvelines National Velodrome. Foto Bernama
Mohd Azizulhasni Awang (kiri) hadir bagi memberi sokongan kepada Muhammad Shah Firdaus Sahrompada Sukan Olimpik Paris 2024 di Saint-Quentin-en-Yvelines National Velodrome. Foto Bernama
A
A
A

"BATON telah diserahkan. Kini untuk anda bro.” Demikian ucapan semangat jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang kepada pelumba negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom, yang baharu menamatkan saingan di Sukan Olimpik Paris 2024.

Mohd Azizulhasni yang dikenali sebagai The Pocket Rocketman berharap, pelumba berusia 28 tahun berasal dari Muar, Johor itu mula mempersiapkan diri ke temasya Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) bermula daripada sekarang, walaupun ia kedengaran seperti terlalu awal.

Beliau percaya pencapaian Muhammad Shah Firdaus akan lebih cemerlang di LA28, apabila kejayaan beliau memasuki final keirin di Paris 2024 bukanlah sesuatu yang mudah dan ia sesuatu yang perlu diakui semua pihak.

"Tahniah kepada bro saya Shah Firdaus...(Semasa di Paris) memasuki baki 100 meter (m) perlumbaan, (Muhammad) Shah (Firdaus) datang dengan kelajuan meyakinkan untuk membawa pulang sekurang-kurangnya pingat gangsa, namun berlaku himpitan di selekoh terakhir yang menyebabkan beliau jatuh.

"Satu persembahan yang kita semua perlu bangga dan saya berharap Shah akan terus bekerja keras untuk meningkatkan prestasi dari semasa ke semasa untuk terus kekal cemerlang di peringkat antarabangsa,” katanya menerusi laman Instagram pada Isnin.

Bernama semalam melaporkan Mohd Azizulhasni mungkin tidak akan meneruskan tempoh empat tahun lagi dalam bidang berbasikal untuk menebus impian pingat emasnya di LA28, bagi menunaikan janji kepada keluarganya bahawa Paris 2024 akan menjadi sukan Olimpik terakhir selepas menjalani pembedahan jantung terbuka pada April 2022.

Pelumba berusia 36 tahun itu, sebelum ini tidak dapat meneruskan saingan di Paris 2024 selepas dibatalkan penyertaan pada pusingan pertama acara keirin akibat kesalahan melintasi pacer pada Sabtu (10 Ogos).

Sebagai rekod, Azizulhasni ialah pelumba berbasikal trek terbaik negara setelah memenangi pingat emas keirin pada Kejohanan Dunia 2017, selain atlet negara pertama yang memenangi pingat di Sukan Olimpik dalam sukan berbasikal apabila memenangi pingat gangsa keirin di Rio 2016 sebelum merangkul pingat perak di Tokyo 2020.

Artikel Berkaitan:

Manakala Muhammad Shah Firdaus yang merupakan harapan terakhir buat Malaysia untuk menambah kilauan pingat di Paris 2024 semalam, hampir menjadikan ia sebagai satu realiti apabila berada di kedudukan ketiga dengan perlumbaan memasuki lebih kurang 25m terakhir, namun berkecai dalam masa yang begitu pantas selepas dilanggar oleh pelumba Jepun Shinji Nakano yang mengakibatkan beliau dan pelumba Great Britain Jack Carlin terjatuh.

Walaupun mengalami kecederaan ringan selepas diseret beberapa meter, pelumba yang digelar sebagai Shah The Terminator itu tetap bangun dan menolak basikalnya ke garisan penamat untuk menamatkan perlumbaan di tempat keempat.

Namun, bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, beliau disingkirkan ke tempat keenam kerana memasuki laluan pelumba Jepun itu. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!