Lima pasar awam seliaan MBPP di kawasan pulau capai gred A

Rajendran (tiga dari kiri) bersama Hon Wai (tiga dari kanan) merasmikan Kempen Pasar Awam Bersih Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) 2024 di Pasar Awam Taman Terubong Jaya pada Isnin.
Rajendran (tiga dari kiri) bersama Hon Wai (tiga dari kanan) merasmikan Kempen Pasar Awam Bersih Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) 2024 di Pasar Awam Taman Terubong Jaya pada Isnin.
A
A
A

GEORGE TOWN - Lima daripada 25 pasar awam di bawah seliaan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di seluruh kawasan pulau negeri ini mencapai gred A dalam segi kebersihan.

Datuk Bandar MBPP, Datuk A Rajendran berkata, gred tersebut diberikan berdasarkan tahap kebersihan yang meliputi tempat menjalankan perniagaan, longkang, lantai dan kawasan sekitar.

Menurutnya, lima pasar awam tersebut ialah Taman Terubong Jaya, Teluk Kumbar Height, Pagar Buluh, Bayan Baru dan Teluk Bahang.

"Kita mensasarkan kesemua 25 buah pasar awam mencapai gred A daripada segi kebersihan dalam tempoh terdekat. Sehubungan itu, kita menjalankan pelbagai usaha untuk mencapai sasaran ini termasuk melaksanakan beberapa siri kempen.

"Usaha ini perlu kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk Ahli Majlis, pekerja MBPP, peniaga, orang awam dan beberapa pihak lagi," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Kempen Pasar Awam Bersih Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) 2024 di Pasar Awam Taman Terubong Jaya di sini pada Isnin.

Majlis tersebut disempurnakan Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hong Wai.

Lima daripada 25 pasar awam seliaan MBPP di kawasan pulau dikategorikan sebagai gred A dalam segi kebersihan.
Lima daripada 25 pasar awam seliaan MBPP di kawasan pulau dikategorikan sebagai gred A dalam segi kebersihan.

Tambah Rajendran, bagi merealisasikan sasaran berkenaan, pelbagai usaha perlu dilaksanakan secara berperingkat.

Artikel Berkaitan:

"Apabila kita mensasarkan 100 peratus pasar awam untuk mencapai gred A daripada segi kebersihan, ia melibatkan kos dan memerlukan beberapa kerja naik taraf. Oleh itu, kita perlu melaksanakannya secara berperingkat.

"MBPP mempunyai sistem penggredan yang mana, pasar awam yang mencapai lebih 85 peratus daripada segi kebersihan akan berada pada gred A, manakala gred B pula berada antara 75 hingga 85 peratus," tambahnya.

Ujarnya lagi, sehingga kini, secara keseluruhannya, 80 peratus pasar awam berada pada gred A dan B.

"Sementara yang kurang daripada 50 peratus pasar awam berada pada gred yang lebih rendah," katanya.

Dalam pada itu, Rajendran berkata, Pasar Taman Terubong Jaya dan Kompleks Medan Renong telah dicalonkan untuk menyertai program

Pasar Awam Bersih PBT 2024 yang dianjurkan oleh Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT).

"Tujuan program ini untuk meningkatkan tahap kebersihan dan kemudahan fasiliti dalam kompleks dan pasar awam MBPP.

''KPKT telah memperuntukkan sebanyak RM15,000 kepada MBPP untuk melaksanakan program Kempen Pasar Awam Bersih PBT Tahun 2024. MBPP telah menggunakan peruntukan ini dengan menjalankan kerja-kerja pembaikan dalam Pasar Taman Terubong Jaya," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!