Iran serang Israel minggu ini?
TEL AVIV - Penilaian terbaharu komuniti risikan Israel mendapati Iran bakal melancarkan serangan balas ke atas rejim Tel Aviv dalam tempoh beberapa hari lagi ketika negara antarabangsa zahirkan kebimbangan terhadap situasi semakin meruncing di rantau Asia Barat.
Menerusi laporan Axios pada Isnin, tindakan menuntut bela itu akan dibuat sebagai respons tegas atas pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh di Teheran pada akhir bulan lalu.
“Operasi itu akan dilancarkan sebelum pusingan baharu rundingan gencatan senjata Gaza yang dijadualkan pada Khamis ini,” ujar laporan tersebut.
Tetapi, salah satu sumber rapat perkhidmatan risikan mendakwa ancaman serangan itu masih tidak dapat dipastikan kesahihannya.
Sejak minggu lalu, agensi berkenaan terus berteka-teki tentang jangka masa sebenar operasi itu ketika komuniti antarabangsa memberi tekanan kepada pihak bertelagah di Asia Barat supaya tidak mengeruhkan lagi situasi di rantau tersebut.
Pada Jumaat lalu, Misi Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula memberi jaminan tindak balas yang dirancang Teheran tidak akan menjejaskan proses gencatan senjata di Gaza.
Beberapa hari selepas itu, Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant yang seperti cacing kepanasan dilaporkan menghubungi Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Lloyd Austin untuk memaklumkan kepada sekutu kuatnya tentang potensi serangan balas yang sedang dirancang Iran.
Ketika ini, rejim Tel Aviv juga percaya ancaman serangan balas Hizbullah atas pembunuhan komander mereka di Beirut adalah jauh lebih tinggi berbanding Teheran.
“Ia bakal menjadi serangan berskala besar lebih dahsyat berbanding 'hukuman tegas' dilancarkan Iran pada April lalu. Sasarannya termasuk pusat penempatan orang awam di tengah Israel,” jelas sumber tersebut lagi.
Sepanjang minggu lalu, pentadbiran Presiden Joe Biden semakin ligat campur tangan kononnya untuk mengelakkan peperangan lebih meluas di Asia Barat.
Gerakan Hamas di bawah kepimpinan baharu Yahya Sinwar dengan tegas menolak undangan negara perantara proses damai tersebut untuk menyertai pusingan rundingan terbaharu dan hanya akan menerima kandungan perjanjian seperti digariskan Biden pada 31 Mei lalu.
Minggu ini bakal menentukan hala tuju perkembangan konflik di Asia Barat ketika serangan ganas terus diperhebatkan di Genting Gaza tanpa menghiraukan kecaman komuniti antarabangsa. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!