Bandar Perabot di Gua Musang masih dibuka kepada pelaburan

Tiada isu yang perlu dibangkitkan berkaitan dengan Bandar Perabot kerana ia masih dibuka kepada pelaburan. Gambar kecil: Mohamed Fadzli
Tiada isu yang perlu dibangkitkan berkaitan dengan Bandar Perabot kerana ia masih dibuka kepada pelaburan. Gambar kecil: Mohamed Fadzli
A
A
A

GUA MUSANG - Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, tiada isu yang perlu dibangkitkan berkaitan dengan Bandar Perabot kerana ia masih dibuka kepada pelaburan.

Menurut beliau, projek yang turut dikenali sebagai Madinatul Athasi itu tidak boleh dijangka bila akan disiapkan.

"Bandar ini kita tidak boleh jangka bila siap kerana ia berkembang dari masa ke semasa.

"Sebenarnya isu berkait dengan Bandar Perabot ini telah dijawab oleh pihak kerajaan negeri semasa Sidang DUN (Dewan Undangan Negeri) yang lepas. Bukan sekali dijawab tetapi lebih," katanya semasa sidang akhbar Perikatan Nasional (PN) di Pusat Informasi PN Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di sini pada Isnin.

Menurut beliau, ketika ini status pembinaan itu berada dalam proses Unit Pelaburan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

"Saya mendapat makluman itu daripada Ketua Jajahan Gua Musang. Saya tanya pagi ini selain ia telah dijawab oleh kerajaan semasa Sidang DUN," katanya.

Mohamed Fadzli memberitahu, projek Bandar Perabot tersebut telah dilancarkan semasa kerajaan negeri dipimpin oleh Datuk Ahmad Yakob.

Ujarnya, selepas dilancarkan negara berdepan dengan krisis Covid-19 dimana beberapa tahun tidak dapat melaksanakan kerja.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, kemudian pihaknya mendapat maklumat berhubung deposit unsur nadir bumi (REE) iaitu antara perkara yang sedang dipertimbangkan.

"Bagaimanapun pihak pelaburan di SUK tetap juga akan melaksanakan perbandaran perabot ini," katanya.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan Barisan Nasional (BN) Gua Musang mempersoalkan status terkini pembinaan Bandar Perabot yang dilancarkan oleh kerajaan Kelantan pada 10 September 2020 selepas tiada sebarang gerak kerja dilaksanakan.

Timbalan Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, projek yang digelar Madinatul Athasi itu telah dirasmikan oleh mantan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob semasa berlangsungnya upacara pecah tanah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!