Milikan rumah generasi Felda, Kesedar ikut Kanun Tanah Negara

Ahmad Zahid ketika menyampaikan ucapan pada Program Temu Mata bersama Masyarakat Jeram Tekoh do Dewan GDW Kesedar, Jeram Tekoh hari ini. - Foto: Bernama
Ahmad Zahid ketika menyampaikan ucapan pada Program Temu Mata bersama Masyarakat Jeram Tekoh do Dewan GDW Kesedar, Jeram Tekoh hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

GUA MUSANG - Kerajaan akan menyelesaikan isu pemilikan rumah generasi kedua dan ketiga Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) serta Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mengikut Kanun Tanah Negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, berdasarkan kanun berkenaan, hanya satu rumah boleh didirikan dalam satu lot tanah yang dimiliki oleh peserta atau peneroka.

“Rumah kediaman generasi kedua dan ketiga akan terus diberikan di kawasan-kawasan Lembaga Kemajuan Wilayah termasuk di Felda dan Kesedar.

“Kaedah-kaedah tertentu akan dilaksanakan dan sedang dirundingkan untuk memecahkan lot-lot tanah bagi mendirikan rumah-rumah generasi kedua serta ketiga ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Temu Mata bersama Warga Peneroka dan Masyarakat Jeram Tekoh di Dewan GDW Kesedar Jeram Tekoh dekat sini pada Isnin.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah sebelum itu turut mengadakan perjumpaan bersama kepimpinan tempatan.

Menurut Ahmad Zahid, kerajaan berusaha untuk mengelak berlakunya pertindihan pemilikan lot tanah yang sama dan perkara itu pernah berlaku sebelum ini.

Beliau berkata, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi Projek Perumahan Rakyat Sejahtera mempunyai peruntukan untuk membina rumah baharu namun di luar tanah peserta dan peneroka.

Katanya, perkara itu sudah dibawa ke peringkat perbincangan dan sudah mendapat kelulusan.

Artikel Berkaitan:

“Beberapa kaedah dikemukakan kepada saya dan akan diperincikan selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!