Ahmad Zahid tempelak Annuar didakwa gagal selesai masalah peneroka, Orang Asli

Ahmad Zahid. Gambar kecil: Annuar
Ahmad Zahid. Gambar kecil: Annuar
A
A
A

GUA MUSANG - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menempelak bekas Setiausaha Agung parti itu, Tan Sri Annuar Musa yang didakwa gagal menyelesaikan isu tanah peneroka dan bekalan air kepada Orang Asli sewaktu memegang jawatan menteri.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, Annuar pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar.

“Saya tidak mahu menyentuh peribadi individu tapi jika individu itu pernah menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar sepatutnya masalah itu selesai ketika beliau jadi menteri.

“Kenapa semasa di Pilihan Raya Kecil Nenggiri perkara itu ditimbulkan,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Temu Mata bersama Warga Peneroka dan Masyarakat Jeram Tekoh di Dewan GDW Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Jeram Tekoh, di sini, pada Isnin.

Bahkan, kata Ahmad Zahid, kegagalan yang didakwa ditinggalkan Annuar itu diambil tanggungjawab dan perlu diselesaikan oleh kerajaan sekarang.

Ahmad Zahid (tengah) yang hadir di Gua Musang bagi bertemu dengan masyarakat pada Isnin.
Ahmad Zahid (tengah) yang hadir di Gua Musang bagi bertemu dengan masyarakat pada Isnin.

“Kegagalan masa dia, saya dan kerajaan yang terpaksa selesaikan. Tepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri.

“Atas kelemahan dan kekhilafan yang dilakukan, kami yang terpaksa menanggung, tetapi tidak mengapa, demi rakyat, peneroka dan peserta di Kesedar dan lain-lain Lembaga Kemajuan Wilayah, kami akan bantu untuk menyelesaikan dengan kadar segera,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Annuar menerusi ceramah pada Ahad mencadangkan kerajaan negeri supaya membuat membuat penyerahan tanah di bawah Kesedar secara terus kepada peneroka.

Annuar yang juga Pengarah Operasi Pakatan Nasional Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangn Negeri (DUN) Nenggiri itu memberitahu sehingga kini terdapat tanah di bawah Kesedar masih belum dijelaskan bayaran premium kepada kerajaan negeri.

Annuar juga mempertahankan Kerajaan Pas Kelantan dengan mengatakan masalah air yang menghantui penduduk Orang Asli sejak berpuluh tahun lalu bukan berpunca daripada kegagalan kerajaan negeri itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!