Agong dipersembah laporan lengkap RCI Batu Puteh, Batuan Tengah, Tubir Selatan
SHAH ALAM - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima laporan lengkap Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Untuk Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Menerusi hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, laporan itu dipersembahkan oleh Pengerusi RCI, Tun Md Raus Sharif bersama semua ahli RCI kepada Baginda di Istana Negara pada Isnin.
Sebelum ini media melaporkan, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam satu kenyataan memaklumkan, Yang di-Pertuan Agong pada Februari lalu memperkenan penubuhan suruhanjaya berkenaan berkuat kuasa serta-merta selaras Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penubuhan RCI itu bagi mencari jalan penyelesaian serta mengorak langkah penambahbaikan berkaitan sebarang isu membabitkan kedaulatan negara dan bukan untuk mencari kesalahan mana-mana pihak.
Azalina menegaskan, rakyat Malaysia khususnya rakyat Johor, wajar diberikan penjelasan mengenai sebab dan faktor sebenar yang mendorong keputusan untuk tidak meneruskan permohonan semakan dan permintaan tafsiran kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan di ICJ.
Pada 2 Februari 2017, Malaysia memfailkan permohonan bagi semakan terhadap keputusan ICJ pada 23 Mei 2008.
Bagaimanapun pada Mei 2018, kerajaan yang ketika itu ditadbir Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri, menarik balik permohonan berkenaan dua minggu sebelum kes dijadualkan didengar pada 11 Jun 2018.
Pada 12 Jun lalu pula, Dr Mahathir memberi keterangan pada prosiding RCI yang dijalankan secara tertutup.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!