Phone scam rekod kerugian RM440 juta

Ramli (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara Pengarah Operasi Pos Malaysia, Zaini Yahman (kanan) dan Ketua Pegawai Operasi Gogolook, Manwoo Joo pada Majlis #ScamFreeMalaysia di Ibu Pejabat Pos Malaysia, Kompleks Dayabumi pada Isnin. - FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Ramli (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara Pengarah Operasi Pos Malaysia, Zaini Yahman (kanan) dan Ketua Pegawai Operasi Gogolook, Manwoo Joo pada Majlis #ScamFreeMalaysia di Ibu Pejabat Pos Malaysia, Kompleks Dayabumi pada Isnin. - FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 8,011 kes 'phone scam' telah disiasat polis membabitkan nilai kerugian RM440,971,870.50 dalam tempoh tiga tahun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 448 kes adalah penipuan melalui penyamaran sebagai pegawai Pos Laju dengan nilai kerugian RM27,186,773.82.

"Sejumlah 1,411 kes phone scam disiasat dengan nilai kerugian RM64,468,952.59 sejak Januari sehingga Julai lalu

"Daripada jumlah itu, sebanyak 87 kes adalah berkaitan penyamaran sebagai pegawai Pos Laju melibatkan nilai kerugian RM2,999,714.42," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Permeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di Pejabat Pos Malaysia, Kompleks Daya Bumi pada Isnin.

Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) dan Whoscall memeterai MoU sebagai sebahagian daripada inisiatif #ScamFreeMalaysia.

Ramli berkata, jumlah itu merupakan mesej jelas bahawa 'phone scam' adalah penipuan yang perlu diberikan perhatian serius.

"Justeru, adalah penting untuk kita memanfaatkan teknologi bagi melindungi rakyat di dalam persekitaran siber yang sentiasa berevolusi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ramli berkata, polis sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam melindungi rakyat Malaysia daripada semua jenis penipuan.

"Kerjasama antara Pos Malaysia dan Whoscall adalah langkah yang signifikan dalam usaha berterusan bagi memerangi penipuan dalam talian, termasuk isu penipuan phone scam di negara kita," katanya.

Kerjasama proaktif itu membabitkan Pos Malaysia berkongsi semua nombor operasi dengan Whoscall, termasuk nombor posmen, yang akan ditandakan sebagai "verified numbers” ("nombor yang disahkan").

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!