Annuar persoal BN kempen guna helikopter, dakwa sewa cecah RM350,000

Annuar (dua dari kanan) menjawab soalan pemberita dalam sidang akhbar di Pusat Informasi PN di Gua Musang pada Isnin.
Annuar (dua dari kanan) menjawab soalan pemberita dalam sidang akhbar di Pusat Informasi PN di Gua Musang pada Isnin.
A
A
A

GUA MUSANG - Perikatan Nasional (PN) mempersoalkan dakwaan penggunaan helikopter oleh calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri untuk berkempen kerana jika sewaannya RM350,000 sehari ia telah melanggar had kos kempen.

Pengarah Operasi PN PRK Nenggiri, Tan Sri Annuar Musa mendakwa, beliau telah melakukan semakan dan mendapati kos sewaan bagi helikopter yang mempunyai lebih lima kerusi adalah kira-kira RM350,000.

"Dalam pilihan raya ada undang-undang termasuk dari segi jumlah yang boleh dibelanjakan dalam menjayakan kempen.

"Kalau pakai helikopter lebih dari lima kerusi, kosnya (dianggarkan) RM350,000 dan itu melebihi daripada had berkempen serta salah dari segi peraturan," katanya pada sidang akhbar PN di pusat informasi parti berkenaan di sini pada Isnin.

Had perbelanjaan kempen bagi calon DUN yang dibenarkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 ialah tidak lebih RM100,000 seorang.

Annuar terdahulu dalam hantaran di Facebooknya pada Ahad memuat baik gambar helikopter yabg didakwa digunakan pemimpin UMNO ketika berkempen di Nenggiri.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat berkata, semakan yang dilakukan beliau mendapati helikopter tersebut diterbangkan dari Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Annuar menyerahkan kepada pihak berwajib untuk menyiasat perkara berkenaan selain memberi ruang kepada rakyat untuk menilai cara kempen BN.

Artikel Berkaitan:

"Ada juga yang mengatakan helikopter terbabit ditaja oleh pihak-pihak tertentu. Kalau pihak yang menaja itu ada kepentingan dengan projek kerajaan, ia adalah rasuah.

"Lebih baik kerajaan bayarlah (sewa sendiri) supaya tidak berbangkit masalah ini di kemudian hari. Saya bukan buat tuduhan, ada pihak yang beritahu helikopter tersebut ditaja," dakwanya.

Namun, Annuar menjelaskan, PN sebenarnya tidak ambil pusing urusan kempen UMNO dan BN.

"Nak datang dengan kereta api, kapal terbang atau supersonik ke itu adalah urusan mereka. Terpulanglah kepada rakyat (untuk menilai) dan kita tidak tawarkan perkhidmatan helikopter dalam tawaran kempen PN," sindirnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!