'Jangan jadi wira papan kekunci' - Chong Wei
LEGENDA badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menggesa netizen supaya tidak berselindung di sebalik profil tanpa nama untuk membuat kenyataan menghina atlet Malaysia berikutan tamatnya Sukan Olimpik Paris 2024 semalam.
Jaguh berusia 41 tahun yang memenangi tiga pingat perak Olimpik berturut-turut dalam perseorangan lelaki di Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016 menekankan kepentingan memberikan sokongan dan maklum balas yang membina.
Chong Wei mengakui bahawa dia adalah jenis orang yang bersuara apabila menyedari sesuatu yang tidak kena berlaku kerana sangat mengambil berat tentang negaranya dan ingin berkongsi pengalamannya.
"Jangan sesekali menjadi wira papan kekunci...Pasukan Malaysia telah mempamerkan persembahan cemerlang sejak dua minggu lepas. Sukan sebenarnya telah menyatukan negara. Sama ada anda Jenis-C, Jenis-Kilat, mahupun Satu demi Satu, semua orang akan mengaktifkan mod ‘Saya Anak Malaysia’ dan berkumpul di kedai mamak untuk memberi sorakan kepada skuad negara.
"Kepada para atlet, anda ialah wira dan wirawati. Terima kasih kerana memberi persembahan yang sangat baik. Belajar daripada pengalaman ini dan lakukan lebih baik pada masa depan. Abaikan teguran negatif, tetapi ambil maklum balas membina.” katanya menerusi hantaran Facebook pada Isnin.
Chong Wei juga berkata, cuba lagi dalam Sukan Olimpik Los Angeles 2028 dan kerja keras harus dimulakan sekarang.
Terdahulu, Malaysia menamatkan kempen Olimpik Paris 2024 dengan dua pingat gangsa dalam acara badminton melalui beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan pemain perseorangan lelaki Lee Zii Jia. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!