Momen istimewa buat Siti Nurhaliza

Kemunculan bersama Aafiyah dan Afwa meninggalkan kenangan berharga bukan hanya kepada Siti tetapi juga peminat yang hadir.
Kemunculan bersama Aafiyah dan Afwa meninggalkan kenangan berharga bukan hanya kepada Siti tetapi juga peminat yang hadir.
A
A
A

KONSERT Siti Nurhaliza: Love Is In The Sky yang berlangsung di Arena of Stars Genting Highlands pada Sabtu lalu berjaya meninggalkan kenangan manis buat 5,100 peminat.

Masakan tidak, lari daripada kebiasaan, bintang berusia 45 tahun itu membuat kejutan apabila membawa dua permata hatinya iaitu Siti Aafiyah Mohd Khalid, 7, dan Muhammad Afwa, 3 tahun.

Bukan hanya sekadar kemunculan biasa, sebaliknya Aafiyah tampil memukau apabila mengiringi nyanyian ibunya apabila bermain keyboard menerusi lagu Nadi dan Cinta Tak Mungkin.

Menurut Siti, beliau sudah lama menginginkan Aafiyah untuk menjadi sebahagian dalam konsertnya memandangkan puterinya itu belajar dan pandai bermain piano.

“Aafiyah belajar piano jadi saya teringin dia membuat persembahan bersama saya. Bukanlah sepenuh lagu, tetapi berada di atas pentas menemani saya.

“Memang kena dengan lagu Nadi yang khususnya dicipta untuk anak saya, Aafiyah dan Afwa,” katanya yang ditemui usai konsert tersebut.

Siti tetap tampil dengan persembahan bertenaga.
Siti tetap tampil dengan persembahan bertenaga.

Tambah Siti, beliau mengambil masa kira-kira setengah jam pada sesi raptai untuk memujuk Aafiyah mengiringinya di pentas kerana anaknya enggan bermain disebabkan rasa gementar, takut dan malu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun pelatun Bukan Cinta Biasa itu memberitahu, suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa tidak menggalakkan Aafiyah menceburi bidang nyanyian, tetapi akan menyokong anak mereka ke saluran yang betul dalam bidang muzik.

“Apa sahaja pilihan Aafiyah apabila besar nanti saya dan suami akan memberi sokongan. Suami saya memang kalau boleh tak nak dia jadi penyanyi seperti saya.

“Cuma kalau dia ada bakat yang bagus, saya hendak salurkan dia ke saluran yang betul dalam bidang muzik, biar dia tahu mencipta lagu,” jelasnya.

Siti turut mengundang anak saudaranya iaitu Ummi Umairah atau Umai untuk mendendangkan lagu Mandarin, Zheng Fu dan sebuah lagu berbahasa Inggeris, You Are The Reason.
Siti turut mengundang anak saudaranya iaitu Ummi Umairah atau Umai untuk mendendangkan lagu Mandarin, Zheng Fu dan sebuah lagu berbahasa Inggeris, You Are The Reason.

Dalam pada itu, Siti menyifatkan konsert di Genting ini sebagai konsert penutup buatnya bagi tahun 2024 dan akan membuat pengumuman kelak sekiranya ada konsert lain pada masa akan datang.

Mengambil tema persembahan cinta setinggi awan, Siti menyampaikan 30 lagu hitsnya seperti Jerat Percintaan, Aku Cinta Padamu, Kau Kekasihku dan Percayalah.

Tidak ketinggalan beberapa lagu yang jarang diketengahkan dalam mana-mana konsert sebelum ini iaitu Zheng Fu, You Are The Reason, Munde Ba, Bulan Yang Mesra dan Menjaga Cintamu.

Bukan itu sahaja, Siti turut mencuri perhatian penonton dengan segmen lagu-lagu rock 90-an, mempersembahkan lagu-lagu malar segar termasuk Tak Mungkin Berpaling (Slam), Tiara (Kris) dan Hakikat Sebuah Cinta (Iklim).

Buat kali pertamanya juga, konsert Siti kali ini menggunakan khidmat Sharhan Syazwan atau Chaan sebagai Pengarah Muzik bersama Leman Band.

Konsert dianjurkan oleh Resorts World Genting dan berlangsung selama dua malam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!