Gubal undang-undang larang pembelian motosikal tanpa lesen - Aktivis

Kerajaan digesa menggubal undang-undang melarang golongan yang tiada lesen memandu membeli motosikal. Gambar hiasan
Kerajaan digesa menggubal undang-undang melarang golongan yang tiada lesen memandu membeli motosikal. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa supaya menggubal undang-undang baharu dalam pembelian motosikal bagi mengekang kadar nahas jalan raya yang sangat tinggi membabitkan pengguna motosikal di negara ini.

Aktivis keselamatan jalan raya, Shahrim Tamrin berkata, sudah tiba masanya kerajaan menggubal undang-undang dengan tidak membenarkan mereka yang tiada lesen memandu membeli motosikal ‘underbone’ atau ‘kapcai’ dari 100 kuasa enjin (cc) sehingga 185 cc.

"Amalan ini sudah lama berlaku tanpa kawalan dan mengakibatkan ramai menunggang motosikal tanpa lesen kerana beranggapan sudah mahir mengendali motosikal.

"Ini juga berlaku kepada golongan mampu membeli motosikal berkuasa besar 250 cc dan 500 cc ke atas tanpa dikesan oleh pihak berkuasa.

"Ini kerap berlaku dalam kalangan ibu bapa yang membelikan motosikal ‘kapcai’ untuk anak-anak mereka sebagai kenderaan pergi ke sekolah dan menyebabkan ramai remaja tidak arif selok-belok peraturan lalu lintas dan sering terlibat dalam nahas jalan raya," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Selain itu katanya, kerajaan juga harus mengambil langkah drastik dengan memperkenalkan kategori baharu pelesenan motosikal yang pernah dicadangkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR).

Jelas Shahrim yang juga bekas ahli Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), ia membabitkan lesen B3 motosikal bagi motosikal berkuasa rendah 70 cc untuk golongan remaja dan dewasa daripada 16 hingga 25 tahun.

Artikel Berkaitan:

Shahrim
Shahrim

"PDRM telah mengusulkan kepada Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) agar mewujudkan satu kategori pelesenan baharu bagi pemohon lesen motosikal untuk golongan 16 hingga 25 tahun hanya dibenarkan menunggang motosikal berkapasiti kecil ‘combustion engine’ (90 cc ke bawah) seperti skuter atau kapcai 70 cc atau pun hanya menunggang motosikal elektrik berkuasa rendah," katanya.

Menurutnya, ia juga seiring dengan amalan yang berlaku di Jepun dan United Kingdom (UK) di mana penunggang motosikal golongan muda dari umur 16 tahun hanya layak tunggang motosikal dengan kelajuan maksimum 90km/j.

"PDRM mencadangkan usul itu adalah untuk membentuk satu budaya bermotosikal baharu agar golongan remaja tidak lagi menunggang kapcai 100cc hingga 185cc yang semakin laju dan lincah mampu capai kelajuan antara 140 km/j sehingga 160km/j.

"Namun, usul itu dipandang sepi oleh Kementerian Pengangkutan dan JPJ sehingga ke hari ini," katanya.

Beliau menambah, sekiranya kerajaan benar-benar serius ingin membasmi dan menangani masalah samseng jalanan dan mengurangkan kematian akibat nahas jalan raya melibatkan pengguna motosikal, syor yang dibuat PDRM itu perlu dilaksanakan.

"Sekali lagi saya mohon supaya kerajaan menggubal undang-undang baharu bagi kawal pembelian motosikal untuk golongan yang tiada lesen memandu," katanya.

Berdasarkan statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, jumlah kematian dan kecederaan mangsa pengguna motosikal berusia 16 hingga 20 tahun bagi 2023 meningkat kepada 6,253 berbanding 5,915 pada tahun sebelumnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!