Ahmad Zahid bukan hero yang jatuhkan saya - Tun M

DR MAHATHIR. Laporan Sinar Harian
DR MAHATHIR. Laporan Sinar Harian
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bukan hero yang menjatuhkannya sebagai pemimpin nombor satu negara ketika itu seperti didakwa.

Dr Mahathir sebaliknya menjelaskan, keputusan beliau untuk meletak jawatan secara terhormat dibuat disebabkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menolak nasihatnya, bukan ada kaitan dengan usaha untuk mengharamkan UMNO.

"Sebab yang saya letak jawatan ialah apabila parti saya, Bersatu, menolak nasihat saya. Pada kebiasaannya apabila seorang pemimpin tidak lagi diberi kepercayaan oleh pengikutnya, dia secara terhormat sepatutnya letak jawatan. Dan itulah yang saya lakukan.

"Zahid tidak perlu mendabik dada sebagai hero yang menjatuh saya dan menyelamat UMNO.

"Zahid bukan hero. Beliau hanya seorang yang menghadapi tuduhan dalam mahkamah dan sanggup bekerjasama dengan musuh ketat UMNO, iaitu DAP, supaya jadi Timbalan Perdana Menteri demi menyelamatkan dirinya daripada dibicara berkenaan kesalahannya," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Ahmad Zahid Sabtu lalu, mendedahkan dirinya adalah dalang utama menjatuhkan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ketika itu dalam usaha menyelamatkan tindakan pengharaman parti tersebut.

Menurutnya, tindakan luar biasa terbabit terpaksa dilakukan untuk menolak Dr Mahathir yang ingin mengharamkan UMNO.

Sementara itu, Dr Mahathir menerusi hantaran sama turut mendedahkan Ahmad Zahid dua kali menemuinya ketika beliau menjadi Perdana Menteri ketika itu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kali pertama Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berjumpa dengannya kerana ingin mengetahui mengenai nasib UMNO selepas parti itu kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Di waktu Ahmad Zahid datang jumpa saya, dia baru jadi Presiden UMNO. Dia ingin tahu apa akan jadi kepada UMNO setelah kalah.

"Bagi saya UMNO sudah tidak lagi berpegang kepada dasar penubuhan UMNO iaitu berjuang untuk bangsa, negara dan agama. Parti yang mengguna nama UMNO (ketika itu) berjuang untuk wang (cash is king)," katanya.

Dr Mahathir menambah, disebabkan perjuangan UMNO tersasar, beliau berpandangan lebih baik nama parti itu tidak lagi digunakan dan cara terbaik adalah dengan membubarkannya.

"Ahmad Zahid tidak bersetuju dan tidak membubar partinya yang mengguna nama UMNO," katanya.

Beliau berkata, selepas berjumpa kali kedua, Ahmad Zahid didakwa cuba jelaskan yang beliau tidak bersalah dalam tuduhan rasuah yang disebarkan umum.

"Saya jelaskan saya tidak berkuasa membebaskan beliau. Bukti yang cuba ditunjuk kepada saya sepatutnya ditunjuk kepada hakim mahkamah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!