Jenazah suami isteri dikebumikan dalam satu liang lahad
KUALA SELANGOR - Jenazah pasangan suami isteri warga emas yang meninggal dunia selang lima jam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Belimbing di sini semalam.
Khuzaimah Che Hussin, 40, berkata, jenazah abangnya, Erpah Yusuf, 60, dan kakak iparnya, Fatimah Sukim, 56, disemadikan dalam satu liang lahad kira-kira jam 5.45 petang.
Menurutnya, walaupun kehilangan mereka sekelip mata namun keluarga tetap reda dengan ketentuanNYA.
“Hati sebak dan sayu sebaik melihat jenazah pasangan ini. Moga mereka tergolong dalam insan beriman dan beramal soleh," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Arwah minta jahitkan baju kurung'
Terdahulu jenazah pasangan suami isteri itu sebelum ini menjalani proses bedah siasat di Hospital Sungai Buloh (HSB) tiba di rumah kira-kira jam 5 petang.
Kira-kira 50 ahli keluarga dan sahabat handai hadir pada pengebumian berkenaan.
Sinar Harian semalam melaporkan Fatimah meninggal dunia pada jam 7 malam di HSB selepas mengalami demam panas iaitu kira-kira lima jam selepas suaminya, Erpah, meninggal dunia pada jam 2 petang di rumah adik iparnya di Kota Damansara, Petaling Jaya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!