50 resort, chalet di Negeri Sembilan beroperasi tanpa kebenaran
SEREMBAN - Lebih kurang 50 resort atau chalet di Negeri Sembilan dikesan beroperasi tanpa kebenaran pihak berkuasa membabitkan kawasan berisiko seperti bukit dan lereng bukit.
Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan,J Arul Kumar berkata, kerajaan negeri sebelum ini bersetuju untuk membuat pemutihan terhadap semua resort atau chalet yang beroperasi tanpa kebenaran tersebut.
"Proses ini perlu dilaksanakan untuk memastikan semua tempat penginapan adalah selamat dan bebas daripada sebarang risiko yang boleh mengundang insiden tidak diingini.
"Berdasarkan rekod,40 daripada jumlah tersebut adalah resort atau chalet yang terletak di kawasan Majlis Bandaraya Seremban (MBS)," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Katanya, sejak dua tahun lalu, MBS telah mengambil beberapa inisiatif untuk membantu dalam proses pemutihan tersebut.
"Usaha jni dilakukan bagi membantu para pengusaha atau operator kawasan penginapan tersebut agar kawasan mereka sentiasa selamat, tetapi respon daripada pengusaha berkenaan sangat tidak memuaskan.
"Sehubungan itu, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Negeri Sembilan akan mengeluarkan Notis Permintaan Mengemukakan Kebenaran Merancang (KM) kepada semua operator atau pengusaha yang telah dikenal pasti.
"Jika tidak mengemukakan permohonan dalam masa yang ditetapkan tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan oleh PBT," katanya.
Ujarnya,tindakan berkenaan adalah perkara sama seperti yang pernah dilakukan keatas tapak-tapak perkhemahan di negeri ini termasuk menyita premis tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!