Sabah haramkan 16 ajaran sesat termasuk Millah Abraham
KENINGAU - Sebanyak 16 ajaran sesat diharamkan di Sabah dan dipantau termasuk kegiatan pengikut kumpulan Millah Abraham yang pernah didakwa di negeri ini pada tahun lalu.
Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama Islam Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, Pejabat Mufti Sabah telah mewartakan ajaran yang salah, menyeleweng atau sesat di negeri ini termasuk Millah Abraham.
"Di Sabah terdapat 16 ajaran sesat yang telah diwartakan berdasarkan senarai terkini yang dikeluarkan Pejabat Mufti Sabah iaitu ajaran Ilmu Makrifat (Mengenal Allah Diri) oleh Mohd Yusuf Cik Wook Yang, Islam Jama'ah, Millah Abraham, Pertubuhan Rahmatan Lil 'Alamin, Qadiani, Syiah, Aliran dan Dakyah Wahabiah Black Metal.
"Selain itu, ajaran yang turut diharamkan ialah fahaman dan ajaran Hizbut Tahrir, fahaman liberalisme dan pluralisme menurut pandangan islam, gerakan kumpulan Muhammadiyyah Wahabiyyah dan Itba' Al-Sunnah, Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS), kumpulan Tal Tujuh, ajaran Bahai, Tariqah Hasaniah dan kumpulan Al-Arqam melalui syarikat Rufaqa' Corporation Sdn Bhd," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Perpustakaan di Auditorium Perpustakaan Sabah Cawangan Keningau di sini pada Isnin.
Sebelum itu, beliau ditanya mengenai jumlah terkini kumpulan ajaran sesat yang dalam pemantauan di Sabah.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah mendedahkan terdapat empat buku turut diharamkan masuk ke negeri ini.
"Buku tersebut ialah bertajuk 'Islam Hadhari menurut pandangan Ustaz Haji Ashaari Muhammad, buku bertajuk 'Membela Sunnah Nabawiyyah' karangan Abd Wahab Bustami, buku bertajuk Awaluddin Makrifatullah ditulis oleh Haji Muhammad Seman Al-Banjari dan buku Mohd Hairi Nonchi," katanya.
Menurut Mohd Arifin lagi, beberapa pengikut Millah Abraham pernah berada di Sabah dan telah didakwa sebelum ini.
"Kumpulan Millah Abraham memang sedang dalam pemantauan penguat kuasa termasuk kita bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Kalau tidak silap, tahun lepas kita ada dakwa mereka tetapi mereka ini bukan dari Sabah dan sudahpun dijatuhkan hukuman.
"Sebab itu dari masa ke masa kita sentiasa memantau mereka termasuk dari pihak Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) bekerjasama dengan pihak berkuasa PDRM bagi memastikan gerakan mereka dipantau.
"Ini bagi memastikan ia tidak berlaku dan tidak berkembang di Sabah kerana ada beberapa daerah dikesan (kehadiran mereka). Walaupun tidak ramai tetapi dalam pemantauan kita kerana ada yang sudah kita dakwa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!