DUN Mahkota: Pemilihan calon diputuskan pemimpin peringkat nasional

Mohamad menyampaikan ucapan pada Program Libat Urus bersama pemimpin Pertubuhan Peladang Kawasan Gua Musang di Dewan Serbaguna Kampung Jerek pada Isnin. Foto Bernama
Mohamad menyampaikan ucapan pada Program Libat Urus bersama pemimpin Pertubuhan Peladang Kawasan Gua Musang di Dewan Serbaguna Kampung Jerek pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

GUA MUSANG - Keputusan meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota akan diputuskan pemimpin parti di peringkat nasional, kata Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata, pihaknya bagaimanapun tidak menghalang ahlinya dari memberi pandangan.

"Itu pandangan bukan keputusan, ahli kita bebas memberikan pandangan. Bagaimanapun, keputusan akan dibuat pemimpin di peringkat nasional,” katanya ketika ditemui pemberita pada program Libat Urus Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersama pemimpin Pertubuhan Peladang Kawasan Gua Musang di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Amanah Kawasan Kluang, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain berhubung hasrat meletakkan calon di DUN Mahkota pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan diadakan nanti.

Isnin lepas, Mohd Zuhan dilapor berkata, pihaknya bersedia untuk bertanding dan sudah menyenaraikan calon bersesuaian untuk diserahkan kepada pucuk pimpinan negeri dan pusat.

Semalam media melaporkan, Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kedudukan atau syarat diminta Amanah boleh dirunding berhubung kerusi DUN Mahkota itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas PRK bagi kerusi DUN Mahkota esok untuk membincangkan pelaksanaan PRK DUN berkenaan setelah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengenai kekosongan kerusi luar jangka itu.

Kerusi DUN Mahkota dikosongkan susulan penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang pada 2 Ogos lepas.

Artikel Berkaitan:

Dalam Pilihan Raya Negeri Johor pada 2022, Ketua Wanita UMNO Kluang itu memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 5,166 undi menewaskan calon PH Muhammad Tagiuddin Cheman, Mohamad Nor Lingan (Perikatan Nasional) dan Mohamed Noor Suleiman (Warisan). - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!