'Jaga nama baik Malaysia' - Shah Firdaus
PELUMBA berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom berharap peminat sukan negara memanfaatkan platform media sosial dengan baik dan menjaga nama baik Malaysia di pentas dunia.
Ia susulan serangan warganet ke atas Instagram pelumba Jepun, Shinji Nakano ekoran insiden perlanggaran dalam acara final keirin Sukan Olimpik 2024 di Paris yang menyekat impian podium Shah Firdaus sekali gus terpaksa berpuas hati di tempat keenam.
“Suka untuk saya menggunakan platform ini untuk kita saling mengingatkan bahawa kami sebagai atlet sangat menjaga nama baik negara Malaysia yang kita cintai ini daripada pelbagai aspek.
“Oleh itu, saya berharap warga Malaysia yang menyokong dan menonton acara-acara sukan, apatah lagi di pentas sebesar ini untuk turut menjaga nama baik negara.
"Apa jua yang berlaku di lapangan dan gelanggang, jangan sesekali diheret sebagai isu peribadi dan emosi. Malaysia negara yang penuh budi bahasa, semoga terzahir dalam konteks sukan juga,” catat beliau menerusi Facebook pada Isnin.
Pelumba berusia 28 tahun dari Johor itu turut mengimbas insiden perlanggaran yang menimpanya dalam aksi final tersebut sambil reda dengan ketentuan ALLAH.
“Dunia rasanya terhenti seketika. Berat, payah, perit untuk saya hadam. Rasanya seakan semua harapan, perit jerih, susah payah saya sejak hari pertama hancur lebur, sedangkan ia sudah terbuka luas untuk digapai.
“Pada situasi itu, sukar untuk saya rasionalkan semua yang berlaku. Namun, sebagai muslim kita perlu reda atas semua ketentuan. Kita merancang, ALLAH merancang dan ALLAH adalah sebaik-baik perancang.
“Kita memohon dan berusaha dengan pengetahuan kita yang terbatas, tetapi ALLAH merancang dengan ilmu-Nya yang maha luas. Untuk semua doa, sokongan dan semangat kalian, saya dengan rendah hati, mengucapkan ribuan terima kasih.
“Terima kasih kerana selalu menjadi kekuatan di belakang saya. Semoga ALLAH membalas yang lebih baik buat semua. Tiada daya dan upaya melainkan dengan bantuan Allah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!