BN tak pinggir MIC di Perak
KUALA KANGSAR - Barisan Nasional (BN) Perak tidak meminggirkan rakan komponen mereka seperti MIC di negeri itu melalui beberapa lantikan politik yang dibuat.
Pengerusinya, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, di Perak, MIC diberikan peranan di dalam beberapa institusi seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
Menurutnya, jawatan yang diberikan kepada wakil MIC itu diberikan bersesuaian dengan kedudukan mereka yang memenangi sebarang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak.
"Bila tiada (kerusi DUN) maknanya tidak boleh dilantik sebagai exco kerajaan negeri. Tapi (bekas) Pengerusi MIC Perak, Datuk V Elango adalah ahli lembaga pengarah LAP (Lembaga Air Perak.
"Daripada 15 PBT, ada 14 PBT yang ada sekurang-kurangnya seorang wakil MIC yang dilantik sebagai Ahli Majlis. Jadi bagi BN Perak, saya ingat tiada masalah," katanya kepada pemberita selepas Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Siri 6 Tahun 2024 di Dewan Jubli Perak di sini pada Isnin.
Saarani yang juga Menteri Besar Perak berkata, selain itu juga terdapat lantikan dalam kalangan pemimpin MIC sebagai ketua kampung seramai tiga orang daripada tujuh kampung India di negeri itu.
Pada Sabtu media melaporkan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan menyatakan kekecewaan dengan mendakwa BN yang berada di dalam Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH) ketika ini dilihat gagal membela nasib parti-parti komponennya terutama MIC dan MCA.
Dengan memberi contoh PH, Saravanan berkata parti berkenaan membela nasib parti-parti komponen tidak kira sama ada DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah).
Sebaliknya di dalam BN, hanya UMNO dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang merupakan parti kecil di Sabah mendapat pembelaan sementara parti bersifat kebangsaan seperti MIC dan MCA dipinggirkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!