Permohonan maaf pelumba Jepun, status akaun Tiktok cetus keraguan

Nakano membuat permohonan maaf kepada warganet Malaysia. Foto Tiktok Shinji Nakano.
Nakano membuat permohonan maaf kepada warganet Malaysia. Foto Tiktok Shinji Nakano.
A
A
A

[DIEKEMAS KINI] PELUMBA sensasi Jepun, Shinji Nakano yang mencetuskan berang warganet Malaysia di media sosial susulan insiden perlanggaran dengan Muhammad Shah Firdaus Sahrom dalam aksi final keirin Sukan Olimpik 2024 di Paris tampil memohon maaf.

Atlet berusia 25 tahun itu berbuat demikian menerusi perkongsian di laman sosial selepas tidak tahan diserang warganet yang bengang angkara insiden tersebut menyebabkan Shah Firdaus terlepas peluang untuk meraih podium.

“Saya memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia atas kesilapan saya,” catat pelumba itu di TikTok.

Permohonan maaf itu bagaimanapun menimbulkan keraguan dalam kalangan warganet mengenai status akaun Tiktok tersebut sama ada palsu atau sebaliknya.

Namun ada dalam kalangan pengguna terbuka menerima permohonan maaf berkenaan atas semangat kesukanan.

Ekoran insiden tersebut juga, Instagram pelumba negara matahari terbit itu diserang warganet Malaysia dengan meninggalkan kata-kata kesat di ruangan komen.

Tinjauan Sinar Harian mendapati Instagram Nakano dibanjiri lebih 36,000 komen yang melepaskan kemarahan terhadap pelumba terbabit.

Nakano dengan rasa rendah diri turut memohon warganet Malaysia tidak lagi mengganggu dia dan keluarganya di atas insiden tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Tolong jangan sebut nama keluarga saya. Saya harus bertanggungjawab dan tolong jangan libatkan keluarga saya,” tulis Nakano.

Akibat insiden tersebut, Shah Firdaus meraih tempat keempat, namun diturunkan ke tangga keenam kerana dikesan memulakan pelanggaran, manakala Nakano pula gagal menamatkan perlumbaan.

Dalam aksi di Velodrom Saint Quentin en Yveline, Paris itu, pelumba Belanda, Harrie Lavreysen unggul merangkul pingat emas ketiganya di Paris selepas turut memenanginya dalam acara pecut individu dan berpasukan.

Pelumba Australia, Matthew Richardson memenangi pingat perak, manakala rakan senegaranya, Matthew Glaetzer membawa pulang gangsa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!