Pantai puntung rokok: MPKL tingkat program bersih Pantai Morib

Program pembersihan Pantai Morib mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi awam, swasta dan NGO.
Program pembersihan Pantai Morib mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi awam, swasta dan NGO.
A
A
A

KUALA LANGAT - Aplikasi ‘Clean Swell’ yang digunakan oleh kumpulan penyelidik konservasi pantai dan lautan merekodkan sejumlah 1,585 puntung rokok dikutip di Pantai Morib sejak Januari lalu.

Jabatan Korporat Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) berkata, aplikasi sama turut merekodkan kutipan sebanyak 309 botol plastik, 353 penutup botol, 830 sisa pembungkus polisterin.

Menurutnya, sebanyak 30 program pembersihan telah dilaksanakan di pantai berkenaan setakat ini dengan melibatkan kerjasama pelbagai agensi awam dan swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha kelestarian alam sekitar.

"Ia dizahirkan dengan rekod penganjuran tujuh tahun berturut-turut pembersihan pantai di beberapa kawasan pesisir pantai di daerah Kuala Langat.

"Ia turut dihadiri Tengku Datin Paduka Setia Zatashah Sultan Sharafuddin Idris dan NGO berkaitan seperti Reef Check Malaysia, Body Shop Malaysia dan lain-lain," katanya mengulas laporan Sinar Harian ‘Pantai puntung rokok’ memalukan, Sabtu lalu.

Program pembersihan Pantai Morib sebagai inisiatif penjagaan alam sekitar.
Program pembersihan Pantai Morib sebagai inisiatif penjagaan alam sekitar.

Laporan menyebut, sebanyak 500 puntung rokok dikutip dalam masa 15 minit oleh wartawan Sinar Harian yang dibantu dua pengunjung hasil tinjauan dibuat.

MPKJ memaklumkan, Morib merupakan salah satu destinasi popular tarikan pelancong yang menerima kebanjiran pengunjung pada setiap hujung minggu selain terkenal dengan penganjuran program berskala besar.

Artikel Berkaitan:

Ujar kenyataan itu, saban tahun program pembersihan dipergiat dengan hanya sepuluh program pada 2021, meningkat kepada 56 program pada tahun berikutnya dan 90 program tahun lepas.

Katanya, MPKL juga menyokong usaha pasukan penguatkuasaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Pejabat Kesihatan Daerah mempromosikan makluman pewartaan dua kawasan larangan merokok di Kuala Langat iaitu Dataran Banting dan Pantai Morib.

"Sebanyak empat unit papan tanda makluman dipasang sekitar Pantai Morib dan tiga unit di Dataran Banting sebagai inisiatif meningkatkan kesedaran larangan merokok di taman-taman awam berdasarkan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (Pindaan 2017).

"Pantai Morib turut disenaraikan sebagai lokasi di taman awam atau taman rekreasi yang tertakluk kepada pewartaan kawasan larangan merokok," katanya.

Justeru katanya, pengunjung diharapkan dapat menjaga kebersihan pantai dengan tidak membuang sampah merata-rata bagi menjamin keselesaan para pengunjung lain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!