Bot karam: Tiada petunjuk, dua lagi mangsa belum ditemui

Muhammad Faisal memberi penerangan mengenai operasi pencarian dua pemancing yang masih hilang di pusat kawalan operasi Zon Maritim Kemaman.
Muhammad Faisal memberi penerangan mengenai operasi pencarian dua pemancing yang masih hilang di pusat kawalan operasi Zon Maritim Kemaman.
A
A
A

KEMAMAN - Hari kedua pencarian dua mangsa hilang dalam tragedi bot karam dipercayai dilanggar tongkang belum menemukan sebarang petunjuk.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kemaman, Leftenan Maritim Muhamad Faisal Abdul Rahim berkata, pihaknya belum menemukan sebarang petunjuk sama ada terdapat objek menyerupai manusia atau bangkai bot melalui jalan laut dan udara.

"Meskipun cuaca pada awal pagi baik, namun tidak menyebelahi pasukan penyelamat. Setelah kita melakukan pencarian dari jam 7 pagi hingga 7 malam ini, kita tidak menemui sebarang petunjuk.

"Lokasi bot juga kita tak dapat nak pastikan sama ada masih berada di situ atau dah hanyut ke tempat lain dan kita sedang berusaha menjejakinya," katanya ketika ditemui pemberita di pusat kawalan operasi Zon Maritim Kemaman, petang Isnin.

Jelas beliau, operasi pencarian udara dan laut pada hari kedua itu meliputi kawasan seluas 318 batu nautika persegi dari perairan Kemaman hingga ke Pulau Tenggol, Dungun.

Katanya, usaha pencarian tetap diteruskan walaupun berdepan sedikit kesukaran disebabkan keadaan laut yang bergelora dan akan diteruskan sehingga ke perairan Kuala Terengganu pada Selasa.

Setakat ini, dua mangsa masih belum dijumpai ialah Yusof Kassam, 66, dan Aina Husna Mohamad Husaini, 25.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan dua mangsa ditemukan lemas manakala dua lagi masih hilang apabila bot dinaiki sembilan penumpang termasuk dua tekong karam dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Bot dinaiki pemancing berasal dari Raub, Pahang dan Selayang, Selangor itu dikatakan dilanggar sebuah tongkang pada jarak tujuh batu nautika dari perairan Kuala Kemaman.

Dua mangsa disahkan meninggal dunia iaitu Siti Zamimah Mohman Zobini, 29, yang berasal dari Selayang, Selangor dan tekong tempatan, Shahril Ismail, 50.

Lima mangsa terselamat ialah Rosnawi Harun, 50; Ain Farhana Mohamad Husaini,30; Haziah Harun, 63; Mat Ali Alahan, 66 dan tekong bot, Saipul Ridzuan Osman, 50.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!