Penyanyi Nora Ariffin diceraikan suami dengan talak satu
PENYANYI Datuk Nora Ariffin, 51, memaklumkan sudah diceraikan talak satu oleh suaminya, Dr Rushdi Ramli.
Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Datuk Wan Ariffin turut berkongsi sepotong video pendek yang memaparkan Rushdi melafazkan cerai.
"Saya yang bernama Rushdi Ramli, dengan ini menceraikan dan mentalakkan isteri saya, Wan Norafiza Ariffin dengan talak satu kerana ALLAH SWT," lafaznya.
Nora pada ruangan kapsyen hanya menulis: “Alhamdulillah. Selesai. ALLAH sahaja yang tahu,” luahnya ringkas.
Bagaimanapun penyanyi berusia 51 tahun itu menutup ruangan komen.
Sebelum ini, sudah timbul beberapa khabar angin mengenai keretakan rumah tangga Nora dengan Pensyarah Kanan, Jabatan Figh & Usul, Universiti Malaya, tetapi Nora menafikannya.
Nora sebelum ini mendirikan rumah tangga dengan Rushdi yang juga kawan baik Allahyarham suaminya, Johan Nawawi dalam satu majlis pada 2021.
Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung.
Mereka sebelum itu mendirikan rumah tangga pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!