Beri kefahaman prosedur berkaitan tanah menerusi khutbah

Saarani (duduk, dua dari kiri) melayani orang ramai yang hadir ketika Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Siri 6 Tahun 2024 di Dewan Jubli Perak pada Isnin.
Saarani (duduk, dua dari kiri) melayani orang ramai yang hadir ketika Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Siri 6 Tahun 2024 di Dewan Jubli Perak pada Isnin.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Kerajaan negeri Perak akan menggunakan pelbagai pendekatan termasuk melalui khutbah Jumaat dalam memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai prosedur berkaitan tanah.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, setiap kali berlangsung Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak, isu-isu berkaitan prosedur tanah paling banyak diterima seperti bicara kuasa, cukai, premium permohonan tanah dan sebagainya.

Justeru katanya, usaha memberi kefahaman kepada masyarakat tentang perkara tersebut perlu digiatkan agar segala permasalahan yang berlaku berkaitan tanah dapat diselesaikan dengan lancar.

"Sebagai contoh yang kita terima, ada tanah yang tidak selesai bicara kuasa sehingga tujuh lapis dan yang datang tadi, ada setengah itu peringkat cucu atau cicit. Jadi kes itu hendak diselesaikan tak boleh kerana perlu terlebih dahulu diselesaikan oleh moyang dia.

"Jadi itu saya katakan kena didik masyarakat. Ada cadangan supaya dalam khutbah pun dimasukkan supaya siapa-siapa yang terlibat dengan kematian, dengan segera hendaklah menyelesaikan bicara kuasa," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Siri 6 Tahun 2024 di Dewan Jubli Perak di sini pada Isnin.

Saarani berkata, terdapat juga kes melibatkan tuntutan tanah yang mempunyai bangunan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan dewan serbaguna sedangkan ia mendapat persetujuan daripada pemilik sebelum itu.

Katanya, disebabkan perkara itu juga semua tanah wakaf bagi sekolah agama, surau, masjid atau tanah perkuburan Islam perlu didaftarkan di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bagi memastikan tidak berlaku masalah di kemudian hari.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ia dibuat bagi memastikan tidak berlaku tuntutan oleh waris terhadap tanah yang telah diwakafkan oleh pemilik.

"Datuk atau moyang dia lafaz, untuk wakafkan tanah ini bagi membina surau, sekolah agama rakyat, masjid. Barangkali anak, cucu, cicit dia tak tahu.

"Sebab itu sekarang kita wajibkan siapa juga yang mewakafkannya hendaklah didaftarkan masjid, surau, tanah perkuburan, sekolah agama rakyat atas nama MAIPk," katanya.

Sementara itu, Saarani berkata, sebanyak 177 aduan telah diterima daripada penduduk daerah Kuala Kangsar sempena Program Hari Bertemu Pelanggan yang diadakan dan kerajaan negeri memandang serius setiap isu yang dibangkitkan serta beriltizam untuk menanganinya dengan teliti.

Jelasnya, sehingga Siri 5 program berkenaan, daripada 998 aduan yang diterima sebanyak 957 iaitu 96 peratus berjaya diselesaikan, manakala baki 41 aduan masih dalam tindakan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!