Kerajaan PH-BN cacamarba - Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Pas mendakwa kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) kini cacamarba.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dakwaan berkenaan susulan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan injunksi sementara yang difailkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim.

“Permohonan bagi membatalkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri ditolak oleh mahkamah buat kali kedua dan kali ini ditolak oleh Mahkamah Tinggi.

“Itulah peliknya pentadbiran di bawah kerajaan PH-BN ini, sudah cacamarba. Mengapa tidak dikosongkan enam kerusi Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)?

“Sedangkan kesalahannya adalah sama,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial, Facebook pada Isnin.

Pada Isnin, Mohd Azizi, 52, sekali lagi gagal untuk menghentikan PRK Nenggiri yang dijadualkan Sabtu ini, selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan injunksi sementara yang difailkan bekal wakil rakyat itu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain menolak permohonan Mohd Azizi, sementara menunggu pelupusan saman pemulanya yang difailkan terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin selaku defendan pertama dan kedua.

Sementara defendan ketiga dan keempat ialah Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, SPR menetapkan PRK DUN Nenggiri diadakan pada 17 Ogos berikutan kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Mohd Azizi diisytiharkan hilang keahlian Bersatu, pada 13 Jun lalu.

Menerusi saman pemula itu, Mohd Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang (ketika itu) memohon deklarasi bahawa PRK DUN Nenggiri tidak boleh diadakan atau dikendali oleh SPR kerana ia masih dipegang olehnya.

Beliau turut memohon deklarasi mahkamah bahawa pemecatannya daripada Bersatu melalui notis bertarikh 12 Jun adalah tidak sah, dan bahawa pemecatannya dibuat dengan niat jahat.

Mohd Azizi berkata, pindaan terhadap Perkara 10 Perlembagaan Bersatu yang menyatakan bahawa keanggotaan akan ditamatkan jika ahli terbabit menyokong parti lawan adalah tidak berperlembagaan.

Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan injunksi sementara yang difailkan oleh Mohd Azizi bagi menghentikan SPR daripada mengadakan PRK DUN itu selepas memutuskan bahawa beliau tidak mengalami sebarang kerosakan kerana masih boleh mengambil bahagian dalam pilihan raya itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!