Rusia 'tertampar' operasi mengejut Kiev

Kediaman orang awam di Kursk menjadi sasaran bedilan misil.
Kediaman orang awam di Kursk menjadi sasaran bedilan misil.
A
A
A

KIEV - Moscow pada Ahad mengakui pasukan tentera Ukraine semakin mara ke wilayah sempadan Kursk, kira-kira enam hari selepas ia melancarkan 'kempen pencerobohan' yang telah menggugat kedudukan barisan hadapan Rusia.

Konflik Kiev-Moscow kini memasuki fasa baharu setelah Ukraine menggerakkan operasi mengejut ketika komuniti antarabangsa memberi tumpuan terhadap perkembangan situasi yang semakin meruncing di Asia Barat.

“Objektif utama ofensif ini adalah untuk menggempur kedudukan musuh dan menjejaskan kestabilan di Moscow. Pasukan tentera Rusia jelas terlalu leka kerana tidak berupaya untuk melindungi kawasan sempadan mereka sendiri,” kata jurucakap pasukan keselamatan Kiev.

Menurutnya, Kremlin sengaja memandang rendah kekuatan askar kami yang dikerahkan menyertai ofensif rahsia itu dengan meletakkan angka kira-kira 1,000 anggota.

“Jumlah mereka sebenarnya lebih ramai,” ujarnya tanpa memberi butiran lanjut.

Serangan tidak dijangka itu menyebabkan Kremlin 'kelam-kabut' mengatur semula strategi mereka dengan mengerahkan pasukan tentera simpanan, unit kereta kebal bersama artileri dan dron untuk mengekang kemaraan musuh.

Tetapi, usaha itu seperti sia-sia kerana Kiev sudah menembusi kubu pertahanan mereka di beberapa lokasi di sempadan.

Artikel Berkaitan:

Imej dikeluarkan Kementerian Pertahanan Rusia menunjukkan jet Su-25 melancarkan roket terhadap kedudukan tentera Ukraine di wilayah Kursk.
Imej dikeluarkan Kementerian Pertahanan Rusia menunjukkan jet Su-25 melancarkan roket terhadap kedudukan tentera Ukraine di wilayah Kursk.

Bagi menutup kelemahan ketara Rusia yang sebelum ini kelihatan gagah di medan perang, Kementerian Pertahanan di Moscow memaklumkan unit kereta perisai mereka berjaya menghalang kemaraan tentera musuh di Kursk.

Difahamkan, sebahagian daripada askar Ukraine kini berada di kawasan berhampiran perkampungan Tolpino dan Obshchy Kolodez yang terletak kira-kira 25 hingga 30 kilometer dari sempadan Moscow-Kiev.

“Sangat menakutkan kerana helikopter berlegar-legar di ruang udara sepanjang masa. Saya ambil keputusan tinggalkan Kursk bila ada peluang berbuat demikian,” kata Marina yang dipindahkan dengan pengangkutan kereta api ke ibu kota.

Sementara itu, pemangku Gabenor Kursk, Alexei Smirnov menggambarkan wilayah itu kini berdepan situasi yang sukar.

KOMPLEKS ZAPORIZHZHIA JADI SASARAN LAGI

Kedua-dua negara bekas Kesatuan Soviet itu turut menuding jari menyalahkan antara satu sama lain menyebabkan kebakaran pada menara penyejuk di kemudahan nuklear Zaporizhzhia yang kini dikawal tentera Rusia.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menerusi catatan di media sosial beliau menuduh Moscow cuba 'memeras ugut' Kiev dengan menyasarkan kompleks sensitif tersebut.

Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) juga mengesahkan tiada peningkatan bacaan paras radiasi yang menyebabkan kebocoran radioaktif atau kejadian itu memberi sebarang impak terhadap keselamatan nuklear setelah kemudahan itu beberapa kali menjadi sasaran sebelum ini.

“Kami sudah meminta pasukan di sana untuk mendapatkan akses bagi menilai tahap kerosakan sebenar meskipun api berjaya dikawal,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Dalam perkembangan berkaitan, wilayah Sumy di Ukraine dilaporan turut berdepan hujan peluru di bawah serangan balas dilancarkan Moscow hingga menyebabkan pihak berkuasa merancang untuk memindahkan kira-kira 20,000 penduduk dari zon sempadan.

Di pusat penempatan sementara di ibu kota wilayah itu, Mykola, 70, yang berpindah dari perkampungan Khotyn yang terletak kira-kira 10 kilometer dari sempadan Rusia dengan lantang menyokong 'kempen pencerobohan' Kiev ke atas Moscow.

“Biar mereka pula lalui detik cemas seperti dirasai kami sebelum ini. Rusia tidak tahu maksud sebenar perang,” sindirnya.

Ketika ini, beberapa penganalisis percaya Kiev melancarkan operasi itu sebagai usaha untuk meredakan tekanan ke atas pasukan barisan hadapan mereka di tengah-tengah bekalan senjata yang semakin berkurangan.

“Fokus utama kami diteruskan di bahagian timur. Askar kami tidak akan dipanggil pulang dari kawasan itu meskipun serangan musuh semakin perlahan,” kata pegawai tentera Ukraine.

Rusia dilaporkan bertindak melancarkan 'kempen memerangi keganasan' di Kursk dan dua lagi wilayah sempadan sebagai respons terhadap kemaraan Kiev.

“Kami tidak takut malah sudah siap siaga dengan serangan misil berskala besar Moscow,” tegasnya lagi. - AFP


INFO

>Pada Februari 2022, Rusia melancarkan kempen pencerobohan tanpa henti ke atas Ukraine dan berjaya merampas kawalan di bahagian selatan dan timur. Hingga kini, bandar utama di Kiev turut dihujani misil dan dron hampir setiap hari sejak lebih dua tahun lalu.

>Moscow memandang rendah keupayaan pertahanan Kiev setelah ia berulang kali merayu bantuan bekalan senjata daripada sekutu Barat mereka.

>Kiev mengatur strategi menggempur wilayah Kursk dan disifatkan sebagai operasi rentas sempadan paling berjaya oleh pasukan mereka. Ia juga adalah serangan paling signifikan ke atas wilayah Moscow sejak Perang Dunia Kedua tercetus.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!