Perlu tegas sekat aktiviti samseng jalanan
MOTOSIKAL dan budaya merempit sudah macam sebati dalam kalangan anak muda di negara ini.
Boleh dikatakan hampir setiap hari Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan menjalankan operasi bagi membendung masalah samseng jalanan dengan tindakan saman, sita dan tangkapan.
Namun, aktiviti anak muda dengan bunyi ekzos bising, menunggang dengan bermacam aksi berbahaya seolah-olah tidak berkesudahan.
Kebanyakan mat rempit dan penunggang perempuan juga semakin berani menunjukkan aksi berbahaya itu di media sosial.
Susulan itu, Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri menegaskan pihaknya akan meningkatkan lagi operasi samseng jalanan.
Kata Mohd Yusri, tindakan itu diambil bagi mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya penunggang motosikal supaya mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas.
Op Samseng Jalanan ini bukan sahaja membendung kegiatan rempit, tetapi memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi dan mengikut undang-undang.
Apa yang membimbangkan mengenai budaya bermotosikal yang agresif ini, banyak kesan lain yang menyebabkan orang tak bersalah menjadi mangsa.
Antaranya, insiden seorang anggota polis trafik yang parah selepas dirempuh remaja bermotosikal melawan arus di Kilometer (KM) 36 (S), Lebuhraya Kajang- Seremban (Lekas), pada 28 Julai lalu.
Selain itu, PDRM memaklumkan kira-kira 12 penunggang motosikal maut setiap hari sekali gus menjadi penyumbang terbesar kepada angka kematian nahas jalan raya iaitu 75 peratus sepanjang tahun lalu yang menyaksikan hampir 600,000 kes kemalangan dicatatkan.
Secara purata sebanyak 1,644 kes sehari melibatkan 17 kemalangan maut serta 18 kematian dengan 12 orang adalah penunggang motosikal.
Antara faktor kemalangan babit motosikal berlaku kerana menunggang secara berbahaya, melulu dan terbabas.
Oleh itu satu langkah secara bersepadu melibatkan semua agensi berkaitan perlu bersama tangani isu ini.
Justeru itu, kita mahu tindakan tegas terus diambil kerana aktiviti sebegini akan terus menjadi barah dan penyumbang kematian tertinggi di Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!