Rasuah rugikan segenap lapisan masyarakat

Dari kiri: Noruddin, Mohd Sayuthi, Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rostam Maidin dan Muhammad Nasir pada Majlis Ikrar Integriri MACC di Putrajaya pada Isnin.
Dari kiri: Noruddin, Mohd Sayuthi, Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rostam Maidin dan Muhammad Nasir pada Majlis Ikrar Integriri MACC di Putrajaya pada Isnin.
A
A
A

PUTRAJAYA - Amalan rasuah yang membarah dalam pelbagai peringkat dan sektor di negara ini tidak akan memberi keuntungan kepada mana-mana pihak.

Sebaliknya, tegas Penasihat Projek Rasuah Busters, Datuk Muhammad Nasir Hamzah, ia menyebabkan kerugian kepada segenap lapisan masyarakat.

“Kita rugi kerana kerugian yang direkodkan sebanyak RM277 bilion itu sepatutnya boleh digunakan untuk membangunkan hospital dan sekolah di mana manfaatnya dinikmati oleh rakyat,” katanya ketika berucap di Majlis Ikrar Integriti Persatuan Kontraktor Perkhidmatan Pencucian Malaysia (MACC) di sini, pada Isnin.

Sebanyak 86 syarikat kontraktor memberi komitmen melafazkan ikrar integriti pada majlis itu yang disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar.

Turut hadir Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rostam Maidin dan Presiden MACC, Noruddin Idris.

Sementara itu, Muhammad Nasir berkata, usaha membanteras gejala rasuah memerlukan komitmen semua pihak termasuk pendedahan di peringkat awal usia.

“Jika semua pihak berusaha untuk menolak rasuah dan salah guna kuasa, Malaysia boleh berdiri sebaris dengan Singapura dan Hong Kong.

“Disebabkan perilaku rasuah ini, yang rugi adalah kita semua kerana terpaksa menanggung kos serta cukai yang tinggi,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam sidang akhbar, Noruddin berkata, ikrar integriti pada majlis itu akan mengikat syarikat kontraktor perkhidmatan pencucian ke arah menjamin tahap perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan.

Menurut beliau, ia sekali gus sebagai isyarat kepada industri perkhidmatan pencucian bahawa ahli mereka mempunyai etika dan integriti yang tinggi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!