Hasilkan produk herba berkualiti, beri peluang semua golongan nikmati manfaat
SEMAKIN ramai individu yang sedar akan kepentingan menjaga kesihatan mereka, dan masyarakat juga mula mengenali manfaat herba dalam mengurangkan risiko penyakit dan meningkatkan sistem imun.
Ini menyebabkan permintaan yang lebih tinggi terhadap produk herba, yang mana ia dianggap sebagai alternatif semula jadi yang lebih selamat berbanding dengan ubat-ubatan kimia yang mungkin mempunyai kesan sampingan yang tidak diingini.
Namun begitu, antara isu utama dalam pengkomersilan produk herba berkualiti tinggi adalah melibatkan harga yang lebih mahal berbanding produk herba biasa atau konvensional.
Sudah tentu persepsi harga ini akan mempengaruhi kuasa membeli dan penggunaan produk dalam kalangan masyarakat.
Umum perlu mengetahui bahawa terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan harga produk herba berkualiti tinggi menjadi lebih mahal.
Produk herba berkualiti tinggi sudah pasti akan menggunakan bahan mentah yang berkualiti tinggi dan dari sumber yang selamat.
Sumber bahan mentah yang terhad atau sukar untuk diperoleh dan mungkin hanya tumbuh di kawasan tertentu sahaja memerlukan teknik penanaman dan penjagaan khusus.
Selain itu, produk herba berkualiti tinggi menjadi lebih mahal kerana ia melibatkan proses pengeluaran yang teliti, serta pemprosesan yang tepat.
Kerja-kerja penuaian pengeringan, ekstraksi, pemprosesan, pembungkusan dan penyimpanan merupakan proses penghasilan produk herba yang memerlukan pemantauan yang rapi dan penggunaan peralatan yang berteknologi tinggi.
Produk herba berkualiti tinggi sering kali terlibat dengan proses pembangunan yang intensif seperti mengadakan ujian klinikal, memohon sijil dan juga kelulusan daripada pihak berkuasa seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Ujian pra klinikal dan klinikal ke atas haiwan dan manusia juga dijalankan dalam beberapa fasa untuk memastikan keselamatan dan keberkesanan produk. Ini pasti melibatkan kos yang sangat tinggi.
Bagi memastikan produk herba berkualiti tinggi dapat dirasai oleh semua golongan masyarakat, pemain industri perlu memainkan peranan penting dalam menangani isu ini.
Antaranya ialah membina jaringan kerjasama yang erat antara pengeluar bahan mentah, pengeluar produk dan pengedar.
Meningkatkan keberkesanan operasi dengan mengurangkan waktu dan kos yang diperlukan seperti penggunaan teknologi yang sesuai, sistem pengurusan inventori yang cekap, pengoptimuman penggunaan sumber daya seperti air dan tenaga elektrik serta pemilihan kaedah pengeluaran produk lebih efisien.
Seterusnya ialah aktiviti penyelidikan dan inovasi yang memainkan peranan penting dalam pembangunan industri herba.
Selain itu, kesedaran pengguna mengenai manfaat dan nilai produk herba berkualiti tinggi juga perlu diberi keutamaan.
Pengeluaran dalam jumlah yang besar dapat membantu mengurangkan kos pengeluaran per unit, seterusnya dapat menurunkan harga jualan produk.
Mempelbagaikan produk dengan mengembangkan pelbagai jenis produk yang sesuai untuk pelbagai segmen pasaran juga boleh dilaksanakan dengan mencipta variasi dalam jenis herba yang digunakan, bentuk pembungkusan, dos atau kombinasi bahan aktif yang digunakan.
Program subsidi atau diskaun khas untuk produk berkualiti tinggi kepada pelbagai lapisan masyarakat juga perlu diwujudkan. Ini adalah untuk mengurangkan beban kewangan bagi pengguna, seterusnya mendorong penggunaan produk herba berkualiti tinggi.
Dengan melaksanakan strategi-strategi ini, industri herba boleh mengurangkan halangan harga dan meningkatkan aksesibiliti kepada produk berkualiti tinggi bagi masyarakat umum.
Ini akan membolehkan lebih ramai orang memperoleh manfaat kesihatan dan kesejahteraan yang optimal.
* Profesor Madya Dr Noor Akhmazillah Mohd Fauzi ialah Pensyarah Jabatan Teknologi Kejuruteraan Kimia, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!