Lawat kuil: Fahami maksud dakwah Islam

Mohd Khairuddin Aman Razali
Mohd Khairuddin Aman Razali
A
A
A

SHAH ALAM - Setiap Muslim digesa untuk memahami maksud dakwah dan tanggungjawab menyebarkan Islam tanpa mengira lokasi mereka berada.

Penasihat Agama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, orang ramai tidak perlu mengkritik kenyataan Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Haron sebaliknya memahami makna dakwah Islam.

“Apabila Mufti Terengganu menegaskan keberadaan orang Islam di rumah ibadat bukan Islam dibenarkan jika dengan tujuan dakwah ia bermaksud tanggungjawab setiap muslim ialah membawa mesej Islam.

“Ia termasuk mesej cintakan kedamaian, interaksi kemanusiaan dan sebagainya sama ada secara lisan atau secara pembawaan diri,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial, Facebook pada Isnin.

Sebelum ini tular sebuah video di media sosial memaparkan program Lawatan Harmoni Terbimbing untuk guru-guru agama dakwah, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) ke Kuil Sri Maha Kaliamman di Kampung Kasipillay, Ipoh, Perak.

Video itu mencetuskan kebimbangan warga maya apabila seorang wanita daripada JAIPk menyifatkan terdapat banyak persamaan antara agama Hindu dan Islam.

Susulan itu, Mohamad Sabri menyatakan orang Islam dibenarkan masuk ke rumah ibadat agama lain dengan tujuan untuk menyebarkan dakwah dan syariat Islam.

Bagaimanapun, beliau berkata, sekiranya hadir tanpa sebarang justifikasi maka ia bertentangan dengan syariat agama.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin memaklumkan, perkara itu yang dilakukan oleh para sahabat seperti Umar al-Khattab (RA) apabila masuk ke gereja ketika di Baitul Maqdis pada tahun ke-15 hijrah.

Menurutnya, ia membawa mesej kedamaian dan perlindungan Islam untuk orang-orang Yahudi dan Nasrani yang menetap di sana di bawah pemerintahan Islam.

“Mana-mana majlis perundingan agama bukan Islam tidak perlu sensitif terhadap maksud dakwah Islam yang menjadi sebahagian tanggungjawab Muslim seperti disebut oleh Mufti Terengganu.

“Dakwah Islam adalah seruan ke arah kedamaian manusia sejagat bukan hanya mengajak bukan Islam memeluk agama Islam,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!