Kaji faktor lahirnya pembuli siber yang semakin serius
STATISTIK mengenai buli siber di Malaysia menunjukkan masalah ini semakin serius, terutama dalam kalangan remaja. Menurut kajian Ipsos, Malaysia berada di tempat kedua di Asia selepas India dalam isu buli siber dalam kalangan belia.
Buli siber merujuk kepada tindakan mengganggu, mengancam, memalukan atau menyakiti seseorang melalui penggunaan teknologi digital seperti media sosial, platform pesanan ringkas, e-mel dan laman sesawang.
Tindakan buli siber boleh melibatkan pelbagai bentuk tindakan seperti memberi komen menghina dan mengeji seseorang secara berterusan, menyebarkan khabar angin, menghantar mesej berunsur kebencian atau ancaman dan menyebarkan gambar atau video yang memalukan tanpa izin.
Terdapat pelbagai faktor yang mendorong seseorang menjadi pembuli siber antaranya:
1. Masalah Psikologi: Individu yang menghadapi masalah emosi, stress, trauma, atau pernah menjadi mangsa buli akan membuli orang lain sebagai cara untuk melampiaskan perasaan marah atau rasa tidak berdaya yang dihadapi.
Sebagai contoh, seseorang yang merasa terasing atau marah kerana masalah keluarga yang dihadapi mungkin mencari cara untuk meluahkan perasaan tersebut dengan membuli orang lain di alam siber.
Selain itu, media sosial biasanya menjadi platform bagi seseorang mempamerkan ‘identiti’nya. Individu yang memiliki nilai diri rendah cenderung berperilaku biadab untuk menarik perhatian pengguna yang lain.
2. Kurang rasa empati: ia boleh lahir dari masalah psikologi yang dialami. Kurang empati bermaksud seseorang tidak mampu memahami atau merasai emosi orang lain.
Oleh itu, individu yang kurang empati tidak menyedari atau peduli tentang kesan tindakan mereka terhadap mangsa.
Pembuli siber tidak dapat melihat reaksi langsung mangsa yang dibuli dan dihina. Ia menyebabkan kurangnya rasa empati dan bertanggungjawab terhadap orang yang dibuli atau dihina.
3. Anonimiti Internet: internet menyediakan ruang kepada seseorang untuk menyembunyikan identitinya yang sebenar. Ia seolah memberikan ‘perlindungan’ kepada pembuli kerana mereka boleh bersembunyi di sebalik identiti palsu atau nama samaran.
Ini menatijahkan kurangnya rasa tanggungjawab dan akibat dari tindakan buli yang dilakukan. Kesannya, individu yang menggunakan akaun palsu untuk menghantar ancaman atau komen negatif berasa lebih berani kerana identiti sebenar mereka tidak diketahui.
Pengguna yang dalam dunia nyatanya mungkin dikenali pendiam, pemalu serta punyai nilai kendiri rendah boleh menjadi seorang yang pemarah, agresif dan biadab di media sosial.
4. Dinamika kelompok: media sosial juga membentuk kelompok atau komuniti yang menjadikan tingkah laku negatif sebagai suatu yang normal dan boleh diterima termasuklah melakukan buli siber beramai-ramai.
Ia boleh lahir sama ada dari tekanan kelompok atau keinginan diri untuk mendapat perakuan dari kelompok tersebut.
5. Algoritma media sosial: algoritma cenderung mempromosikan kandungan (content) yang mendapat banyak perhatian.
Malangnya kandungan yang biasanya mendapat perhatian adalah tentang isu yang negatif serta kontroversi. Ia lebih cepat tersebar dan menerima lebih banyak perhatian dibandingkan content positif.
Ini memberi dorongan kepada seseorang untuk melakukan hal-hal yang negatif demi content semata-mata termasuklah sehingga membuli orang lain.
Rumusannya, mengenalpasti faktor kepada buli siber penting bagi mencegah amalan ini dari terus berleluasa di media sosial. Dari faktor yang dinyatakan di atas, ia membabitkan pelbagai aspek.
Maka, langkah untuk mengatasi buli siber juga perlu komprehensif membabitkan aspek pendidikan, kempen kesedaran, penguatkuasaan undang-undang, perangkaan dasar yang bersesuaian, sokongan emosi dan psikologi serta intervensi kepada pembuli siber.
Ini termasuklah juga beban tanggungjawab yang perlu dikenakan kepada pemilik platform media sosial sekiranya berlaku buli siber di platform mereka.
* Professor Madya di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dr Mohd Khairul Naim Che Nordin
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!