Setiausaha Agung PBB kecam serangan udara Israel ke atas sekolah di Gaza

Serangan udara Israel ke atas sekolah Al-Tab'een di Gaza yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 100 orang terbunuh.
Serangan udara Israel ke atas sekolah Al-Tab'een di Gaza yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 100 orang terbunuh.
A
A
A

HAMILTON (Kanada) - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres pada Isnin mengutuk serangan udara Israel ke atas sebuah sekolah di Gaza yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 100 orang terbunuh.

"Setiausaha Agung mengecam pembunuhan di Gaza termasuk wanita dan kanak-kanak.

"Kita menyaksikan satu lagi serangan memusnahkan oleh Israel ke atas sekolah Al-Tab'een di Gaza, menempatkan ratusan keluarga Palestin yang terpaksa berpindah dengan banyak nyawa terbunuh di tengah-tengah kekejaman, pemindahan dan penderitaan yang berterusan di Gaza," kata jurucakap timbalan PBB, Farhan Haq dalam satu sidang akhbar.

Haq berkata, Guterres kecewa menyaksikan ketetapan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2735 masih belum dilaksanakan dan beliau mengalu-alukan usaha pengantaraan oleh pemimpin Amerika Syarikat, Mesir dan Qatar, serta mendesak kedua-dua belah pihak untuk kembali berunding dan menyelesaikan perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tawanan.

Guterres mengulangi rayuan bagi gencatan senjata segera dan pembebasan tanpa syarat semua tawanan.

"Beliau juga sekali lagi menegaskan keperluan untuk memastikan perlindungan orang awam dan akses kemanusiaan yang tidak terhalang dan selamat ke dalam dan merentasi Gaza.

"Setiausaha Agung menegaskan bahawa undang-undang kemanusiaan antarabangsa, termasuk prinsip perbezaan, keadilan dan langkah berjaga-jaga dalam serangan mesti dipatuhi pada setiap masa," kata Haq.

Sekurang-kurangnya 100 orang terbunuh dan ramai lagi cedera pada Sabtu apabila pesawat Israel menyasarkan rakyat Palestin yang sedang menunaikan solat subuh di sekolah Al-Tab'een di kawasan Al-Daraj, Gaza. - Bernama-Anadolu

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!