Manifesto PRK Nenggiri: PN kemuka 37 tawaran, BN hanya satu

Ahmad Jazlan (dua dari kiri) bersama Mohd Azmawi Fikri (berdiri) semasa turun padang bertemu mata dengan rakyat Nenggiri.
Ahmad Jazlan (dua dari kiri) bersama Mohd Azmawi Fikri (berdiri) semasa turun padang bertemu mata dengan rakyat Nenggiri.
A
A
A

GUA MUSANG - Manifesto Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri kali ini menyaksikan Perikatan Nasional (PN) mengemukakan 37 tawaran, manakala Barisan Nasional (BN) hanya satu sahaja sekiranya diberi mandat oleh rakyat pada 17 Ogos ini.

Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub berkata, untuk PRK kali ini mereka tidak mengeluarkan manifesto khas.

"Kita hanya ada satu manifesto. Sekiranya diberi mandat, wakil rakyat kita akan berkhidmat kepada rakyat Nenggiri dan menyelami permasalahan yang dilalui.

"Kalau saya nak hurai manifesto, rasanya satu buku pun tidak habis, yang pentingnya kita berkhidmat pada rakyat.

"Apa gunanya melancarkan manifesto jika janji pilihan raya tahun 1990 pun belum selesai pada hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya berkenaan tawaran yang akan diberikan kepada rakyat DUN Nenggiri sekiranya calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani diberi mandapat pada PRK kali ini.

Menurut beliau, BN tidak mengeluarkan manifesto khas sebagaimana dikemukakan oleh calon PN.

Pada Ahad, PN telah mengumumkan manifesto dengan mempertaruhkan KHIDMAT yang merangkumi 37 tawaran kepada rakyat Nenggiri.

Artikel Berkaitan:

Tambah Ahmad Jazlan, rakyat sudah boleh menilai berdasarkan pengalaman pilihan raya lepas.

"Sebelum ini batu asas sudah dibuat, malah telah ditenggelami. Ibarat cari kubur yang tidak jumpa.

"Nak buat bandar perabut la, Kuala Krai pelaburan darat la, orang buat pelaburan di Tok Bali dia buat pelabuhan darat. Janji nak buat itu dan ini satu pun tak buat," katanya.

PRK DUN Nenggiri 17 Ogos ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara BN dan PN.

BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO negeri, Mohd Azmawi Fikri sementara PN, Mohd Rizwadi Ismail dari Bersatu.

PRK Nenggiri diadakan selepas Yang Dipertua DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah pada 19 Jun lepas mengumumkan kekosongan kerusi itu susulan tindakan Bersatu menggugurkan keahlian penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian DUN Nenggiri pada 17 Ogos manakala penamaan calon serta pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos.

Dalam PRK lalu, calon PN dari Bersatu, Mohd Azizi Abu Naim menang dengan majoriti 810 undi menewaskan calon BN, Ab Aziz Yusoff.

Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di sini!.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!