Skuadron Selam Maritim kesan kedudukan bot karam

Seramai sembilan anggota pasukan penyelam terlibat dalam Op Carilamat bagi mengesan dua lagi pemancing yang masih hilang.
Seramai sembilan anggota pasukan penyelam terlibat dalam Op Carilamat bagi mengesan dua lagi pemancing yang masih hilang.
A
A
A

KEMAMAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggerakkan Skuadron Selam di bawah koordinasi Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) bagi mengesan kedudukan bot karam yang terlibat dalam insiden pelanggaran dengan sebuah tongkang, pada Ahad lalu.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Ariffin Ghazali berkata, operasi pencarian memasuki hari ketiga pada Selasa bagi mengesan lokasi serta badan bot bernombor TRF 942 yang terlibat dalam kejadian tersebut disertai seramai sembilan anggota pasukan penyelam.

Selain itu, katanya, ia turut melibatkan lima aset laut dan dua aset udara dengan kekuatan seramai 80 anggota penyelamat daripada Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Op Carilamat pada hari ketiga dibantu Skuadron Selam di bawah koordinasi Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) bagi mengesan kedudukan bot yang karam.
Op Carilamat pada hari ketiga dibantu Skuadron Selam di bawah koordinasi Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) bagi mengesan kedudukan bot yang karam.

"Kawasan sektor pencarian di laut turut diperluaskan meliputi kawasan seluas 116.24 batu nautika persegi manakala keadaan cuaca di kawasan pencarian diramalkan baik dengan angin sekitar 30 km/j ke 40 km/j serta ketinggian ombak mencapai 1.5 meter ke 2.5 meter.

“Keluasan bagi sektor pencarian udara diperbesarkan menjangkau sehingga 291 batu nautika persegi yang melibatkan pesawat Bombardier CL415MP Maritim Malaysia dan helikopter AW139 JBPM,”katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, operasi pencarian turut dibantu oleh lima bot nelayan tempatan yang melakukan pencarian sekitar perairan Kemasik dan kawasan persisiran pantai.

"Seramai 15 nelayan akan menyertai operasi mengesan dua pemancing yang masih hilang dengan jarak keluasan pencarian sejauh 20 batu nautika dari Kuala Kemaman.

Artikel Berkaitan:

"Anggota penyelamat, ahli keluarga, pemimpin masyarakat serta penduduk setempat turut mengadakan solat hajat bagi memohon agar usaha pencarian pada hari ini dipermudahkan," ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, Maritim Malaysia memohon kerjasama komuniti maritim serta orang awam yang menemui sebarang petunjuk atau mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian terbabit untuk menghubungi Pusat Operasi Maritim Kemaman di talian 011-13390521 atau terus ke Pangkalan Hadapan Carilamat yang diaktifkan di Pejabat Maritim Kemaman.

Ahad lalu, sebuah bot nelayan yang dikendalikan dua tekong dan tujuh pemancing dilaporkan karam selepas dikatakan dilanggar tongkang, dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi.

Mayat dua pemancing iaitu Shahril Ismail, 50, dan Siti Zaminah Mohman Zobini, 29, ditemukan pada hari yang sama manakala dua lagi mangsa iaitu Yusoff Kassam, 66, dan Aina Husna Mohamad Husani, 25, masih belum ditemui.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!